X

Kindly register in order to view this article
!

Kemarau: Kapasiti air empangan cukup untuk tanaman padi

Ahmad Tarmizi (tengah) menyaksikan penyerahan sumbangan oleh Ishak kepada Yayasan Pelajaran Pertubuhan Peladang MADA (YPPPM) diwakili oleh Yusof (kiri).
A
A

ALOR SETAR - Kedudukan paras air empangan utama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berada pada paras memuaskan untuk penanaman padi musim 1/2021 walaupun masih berdepan musim kemarau.

Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, kedudukan takungan Empangan Pedu setakat jam 8 pagi Jumaat ialah pada paras 95.58 peratus manakala Empangan Ahning sebanyak 84.02 peratus, diikuti Empangan Muda (82.40 peratus).

Menurutnya, kapasiti kesemua empangan mencukupi untuk penanaman menggunakan kaedah biasa dan tiada keperluan melaksanakan kaedah penanaman padi tabur kering.

“Bagaimanapun MADA menasihatkan peladang memanfaatkan turunan air hujan bagi memulakan aktiviti tanaman padi musim ini selain mengikut jadual penanaman yang dikeluarkan MADA,” katanya.

Ahmad Tarmizi berkata, penanaman padi musim 1/2021 bermula pada akhir Mac, di mana tarikh akhir penyediaan tanah bagi fasa satu adalah pada 31 Mac diikuti fasa dua (14 April) dan fasa tiga pada 28 April.

“MADA juga menyarankan peladang mengikut strategi penggunaan air yang ditetapkan bagi musim bagi mengelakkan pembaziran dan mampu meningkatkan hasil padi,” katanya.

Menurutnya, antara strategi termasuk melaksanakan putaran kering sebaik selepas penuaian, memaksimumkan penggunaan air hujan di bendang, serta mengoptimumkan penggunaan aliran tidak terkawal (UCF).

“Kita turut menasihatkan peladang supaya optimumkan penggunaan pam bergerak dan Stesen Pam Guna Semula Air, selain kawalan air secara berhemah di bendang serta persediaan pam bagi membantu sekiranya perlu ketika cuaca kering,” katanya.

Ahmad Tarmizi sebelum itu menyampaikan Sijil Tauliah Biasiswa Kecil Tahun 2020 kepada 22 pelajar Tingkatan Satu, serta 48 pelajar penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Yayasan Pelajaran Pertubuhan Peladang MADA (YPPPM) Tahun 2018/2019 dan 37 penerima bagi tahun 2019/2020 di Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar.

Menurutnya, seramai enam pelajar terpilih yang cemerlang dalam peperiksaan PT3, SPM dan STPM menerima Anugerah Khas berjumlah RM6,500 keseluruhan.

Ahmad Tarmizi turut menyaksikan penyerahan sumbangan sebanyak RM290,026 membabitkan 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA dan RM109,108 sumbangan ahli-ahli daripada 27 PPK MADA.

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras PPK MADA, Ishak Taib kepada Pengerusi YPPPM, Yusof Bakar.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!