Covid-19: 1,294 kes baharu, lima kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sebanyak 1,294 kes baharu Covid-19 dan lima kematian dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 1,268 kes adalah penularan tempatan manakala baki 26 kes merupakan kes import.

“Jumlah kes sembuh pula adalah sebanyak 1,442 menjadikan kumulatif kes sembuh dalam negara kini 332,443 kes. Seramai 168 individu sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 78 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19, di sini pada Jumaat.

Dr Noor Hisham berkata, negeri yang mencatat kes paling tinggi hari ini ialah Selangor dengan 455 kes, diikuti Sarawak (217); Pulau Pinang (139); Johor (103); Kuala Lumpur (88); Kelantan (66); Sabah (63); Pahang (57); Negeri Sembilan (31); Melaka (22); Kedah (21); Perak (14); Terengganu (8); Putrajaya (5); Labuan (4); manakala satu kes baharu dilaporkan di Perlis.

Sementara itu, 10 kluster baharu dikesan membabitkan tujuh kluster tempat kerja iaitu Kluster Banjaran Gading dan Simpang Empat di Sabah; Selangor (Industri Bukit Angkat); Johor (Jalan Taat); Kuala Lumpur (Jalan Bukit Nanas); Negeri Sembilan (Jalan Padang); dan Terengganu (Wakaf Chagak).

Beliau berkata, selain itu, dua kluster komuniti dilaporkan iaitu Kluster Kalindukan di Sabah dan Kluster Permatang Pasir di Negeri Sembilan, manakala satu kluster kumpulan berisiko tinggi dikesan, iaitu Kluster Pekan Batu di Selangor.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 1,025 kluster tamat setakat ini termasuk sembilan pada Jumaat. - Bernama

Artikel Berkaitan: