Siasatan dalaman campur tangan kehakiman kes Karpal digantung

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Siasatan dalaman terhadap dakwaan campur tangan kehakiman dalam kes rayuan mendiang peguam Karpal Singh digantung berikutan siasatan polis yang sedang dijalankan mengenai kes itu.

Pegawai Khas kepada Ketua Hakim Negara Mohd Aizuddin Zolkeply berkata siasatan dalaman itu juga digantung selepas mengambil kira rayuan yang masih belum selesai di Mahkamah Persekutuan atas permintaan pemohon dalam kes rayuan tersebut sementara menunggu hasil siasatan polis.

“Siasatan dalaman ini hanya digantung dan bukan dihentikan bagi memastikan tidak timbul prejudis disebabkan siasatan oleh polis selain rayuan yang belum selesai,” katanya dalam afidavit balasan terhadap saman pemula yang dikongsikan dengan media hari ini.

Saman pemula itu difailkan oleh anak perempuan Karpal yang juga peguam, Sangeet Kaur Deo berhubung dakwaan campur tangan kehakiman dalam keputusan kes hasutan Karpal serta kes penukaran agama tiga kanak-kanak Hindu.

Dokumen tujuh muka surat yang disahkan oleh Mohd Aizuddin, 37 itu difailkan pada 7 Februari.

Sangeet mengemukakan saman terhadap Ketua Hakim Negara pada 14 Januari, memohon perintah deklarasi bahawa beliau gagal melindungi dan mempertahankan integriti kehakiman berhubung rayuan kes hasutan mendiang bapanya serta menamakan ‘Ketua Hakim Malaysia’ tanpa meletakkan nama sebagai responden tunggal dalam saman itu.

Beliau memohon perintah deklarasi Ketua Hakim Negara gagal menjalankan tugasnya sebagai ketua kehakiman untuk mempertahankan integriti dan kredibiliti kehakiman apabila beliau gagal menyelesaikan siasatan mengenai dua dakwaan yang serius berhubung campur tangan kehakiman dalam sistem kehakiman Malaysia berkaitan keputusan rayuan kes hasutan bapanya dan kes seorang ibu, M. Indira Gandhi.

Sangeet juga mendakwa campur tangan kehakiman dalam kes Indira Gandhi apabila Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer mendedahkan beliau ditegur oleh hakim atasan kerana membuat penghakiman berbeza dua tahun lalu dalam kes penukaran agama unilateral anak-anak Indira.

Artikel Berkaitan:

Dalam afidavit balasannya, Mohd Aizuddin berkata penemuan muktamad mengenai dakwaan itu tidak dapat dibuat disebabkan kenyataan yang pelbagai semasa inkuiri dalaman.

“Selain itu, ‘hakim atasan’ yang dimaksudkan juga sudah bersara justeru tiada tindakan dapat diambil menurut Kod Etika Hakim 2009 dibaca bersama Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010,” katanya.

Mohd Aizuddin seterusnya berkata tidak ada jawatan Ketua Hakim Malaysia menurut undang-undang negara.

“Justeru, saman pemohon adalah tidak tepat dan harus ditolak dengan kos,” katanya.

Mahkamah Tinggi menetapkan 25 Feb ini untuk pengurusan saman pemula.- Bernama