X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia sentiasa utamakan amalan buruh baik di sektor agrikomoditi

Mohd Khairuddin Aman Razali
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia sentiasa mengutamakan serta mendukung amalan buruh yang baik termasuk di semua sektor agrikomoditi demi kebajikan semua pihak menerusi pemerkasaan setiap undang-undang yang melibatkan kebajikan pekerja.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menegaskan, pendirian sedemikian sekali gus membuktikan komitmen Malaysia yang sememangnya menentang sebarang amalan buruh paksa.

Malah, katanya, komitmen Malaysia itu juga jelas menerusi Kajian Mengenai Situasi Buruh di Sektor Perladangan selama dua tahun yang siap pada 2020 hasil kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Perangkaan dan wakil Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Selain itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui Majlis Getah Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia serta agensi berkaitan juga sentiasa mengawasi, memantau dan meningatkan pihak industri untuk mengambil berat kebajikan pekerja di sektor agrikomoditi serta mematuhi undang-undang demi kemaslahatan (manfaat) bersama,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Khairuddin berkata, KPPK juga mengambil perhatian terhadap tindakan terbaharu Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) yang mengeluarkan arahan larangan import terhadap semua sarung tangan pakai buang keluaran Top Glove Corporation Bhd.

Menurutnya, dakwaan CBP itu juga adalah rentetan laporan sebelumnya yang telah serta sedang diselesaikan oleh Top Glove.

“KPPK dimaklumkan bahawa pihak pengurusan Top Glove telah mengambil pelbagai langkah dan tindakan bagi memastikan syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu mematuhi segala peraturan ILO berkaitan penyalahgunaan tenaga kerja.

“Ini termasuk mengemukakan laporan yang disediakan oleh perunding antarabangsa dari United Kingdom iaitu Impactt Limited (Impactt) kepada CBP pada 16 Mac, 2021 untuk dinilai (oleh mereka),” katanya.

Selain itu, kata Mohd Khairuddin, Top Glove juga telah mengambil semua langkah ditetapkan pihak berkuasa AS untuk memastikan masalah terbabit dapat ditangani segera.

Sebelum itu, Impactt menerusi kenyataan pada 9 Mac 2021 telah mengesahkan bahawa tiada (amalan) buruh paksa secara bersistem dalam operasi syarikat Top Glove berdasarkan hasil penilaian yang dijalankan.

KPPK juga dimaklumkan pada tahun lepas bahawa syarikat tersebut telah membelanjakan sejumlah RM136 juta bagi mengurangkan bebanan hutang pekerja migran yang dikenakan oleh agensi pekerjaan.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada Dasar Pengambilan Kos Sifar dan Pematuhan Audit Sosial yang dilaksanakan oleh syarikat tersebut sejak 2019, kata beliau. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!