Pas mahu kekal bersama PN, Tok Mat enggan komen

Tuan Ibrahim, Mohamad Hasan
Tuan Ibrahim, Mohamad Hasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin tertinggi Pas pada Jumaat senada menegaskan gabungan tiga parti iaitu UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu kekal bersatu di bawah payung Perikatan Nasional (PN) bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kenyataan yang dibuat itu dilihat tidak selari dengan keinginan UMNO untuk bergerak sendiri atau bersama Pas melalui Muafakat Nasional (MN).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan ketika dihubungi bagi menyatakan pendirian UMNO selepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan pendirian sama, sebaliknya enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak sihat. Cari orang lain (minta komen daripada orang lain),” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Akhbar ini juga cuba mendapatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tetapi panggilan tidak dijawab.

Abdul Hadi melalui kenyataan menegaskan Pas menolak sebarang agenda peribadi yang hanya untuk menyelamatkan pemimpin serta anggotanya.

Beliau juga menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat asal MN.

“Pas turut menolak politik yang menghabiskan masa dan juga menyusahkan rakyat, tanpa melihat kepada musim bencana alam dan wabak yang masih menular hari ini.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga menolak muafakat tanpa bersatu dan menolak kumpulan yang menunjukkan tiada kesetiaan kepada negara dengan sifat melampau yang mencabar agama dan bangsa,” katanya.

Tuan Ibrahim pula menegaskan asas pembentukan MN harus dilihat dalam kerangka semasa bukannya sebelum pembentukan kerajaan PN.

“Kalau kita sepakat membentuk kerajaan PN dan kita berjaya menumbangkan Pakatan Harapan (PH), kita tidak kisah pun soal kerusi yang lompat, kita gembira atas muafakat ini dan rakyat juga gembira. Kenapa kerjasama ini perlu dipisahkan?

“Kenapa kini kita hilang pertimbangan dengan melupai asas pembentukan MN waktu kita jadi pembangkang dan tidak menghargai situasi kini yang kita dapat bentuk kerajaan bersama,” katanya.

Pada 26 Februari lalu, satu surat daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pendirian UMNO yang tidak akan bekerjasama dengan Bersatu bila parlimen dibubarkan.

Malah Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad menegaskan keputusan UMNO tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15 adalah muktamad.

ARTIKEL BERKAITAN Pas sudah lakukan terbaik demi pertahan MN: Abdul Hadi

Gabungan tiga parti dalam PN jalan terbaik: Tuan Ibrahim