Polis siasat dakwaan OKU dipukul pemandu Swift sebelum kemalangan maut

Anbalagan
Anbalagan
A
A
A

GEORGETOWN - Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang lelaki cedera selepas dikatakan dipukul pemandu kereta Suzuki Swift yang maut dalam kemalangan pada petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, polis menerima laporan daripada penyewa kedai menjual pakaian terpakai berusia 51 tahun berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, kejadian berlaku di sebuah kedai menjual pakaian terpakai membabitkan mangsa berusia 21 tahun yang juga anak kepada pemilik premis tersebut.

"Sebelum kejadian, mangsa dikatakan ke kedai tersebut untuk berehat (tidur). Bagaimanapun, ketika penyewa kedai tersebut sedang berbual dengan rakannya, tiba-tiba seorang lelaki berlari keluar dari kedai tanpa memakai kasut.

"Dia yang mengesyaki sesuatu telah masuk ke dalam kedai dan mendapati mangsa sedang terbaring dan berlumuran darah di bahagian muka," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Anbalagan berkata, mangsa merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal mengalami luka di bahagian dalam mata, patah tulang hidung serta luka di bibir.

"Hasil keterangan mangsa, ketika dia hendak tidur, seorang lelaki meluru ke arahnya dengan berkata 'jangan kacau saya'.

"Dia kemudiannya menyerang mangsa bertubi-tubi menggunakan topi keledar milik mangsa di bahagian kepala. Mangsa masih dirawat dan dilaporkan stabil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, siasatan daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta saksi bebas mendapati lelaki tersebut berlari keluar dari premis itu lalu terus meluru ke kereta Suzuki Swift berwarna merah yang diparkir berhampiran tempat letak kereta bertingkat.

Dalam pada itu, Anbalagan berkata, hasil keterangan abang kepada pemandu kereta tersebut mendapati adiknya masih bujang dan bekerja sebagai eksekutif pembangunan perniagaan di sebuah syarikat di Sungai Tiram, Bayan Baru.

"Lelaki itu bekerja sejak sembilan bulan lalu di syarikat tersebut yang terletak berhampiran dengan kedai menjual pakaian terpakai iaitu tempat mangsa diserang.

"Dia dipercayai mengalami tekanan jiwa dan kemurungan sejak awal Mac lalu disebabkan tekanan hidup. Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah," katanya.

Sebelum itu status Facebook kakak kepada mangsa tular apabila dia mendakwa adiknya dipukul seorang lelaki yang tidak dikenali dengan topi keledar.

Wanita yang dikenali sebagai Izzaty Haswaniey mendakwa, adiknya itu dipukul di bahagian muka ketika hendak tidur di sebuah kedai sehingga cedera sebelum lelaki tersebut melarikan diri.

Semalam, seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya merempuh tiga kenderaan lain di persimpangan Jalan Sultan Azlan Shah/Jalan Tengah di sini pada jam 2.50 petang.

Mangsa, K Vimaleswara yang berusia 30 tahun disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital, kira-kira jam 4.10 petang.

Lelaki tersebut memandu keretanya dari arah Sungai Tiram menghala ke Georgetown.

Ketika kejadian, dua buah kereta dan sebuah motosikal sedang berhenti di lampu isyarat di persimpangan jalan tersebut sebelum dirempuh kereta jenis Suzuki Swift yang dipandu mangsa.

Bagaimanapun, pemandu kereta Perodua Myvi berusia 42 tahun hanya luka di tangan, pemandu kereta Toyota Vios yang berusia 24 tahun pula tidak mengalami kecederaan namun penunggang motosikal Honda RS150 berusia 51 tahun mengalami luka ringan di tangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Maut selepas rempuh tiga kenderaan di lampu isyarat