X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Pemandu didakwa cederakan lelaki guna parang

A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Jumaat terhadap pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap seorang lelaki menggunakan sebilah parang, 12 tahun lepas.

Mohd Syafiq Abdul Karim, 35, didakwa mencederakan Ridzuan Mohamed Sharif, 43, di bawah Blok 1, Flat Sri Labuan, Cheras, di sini pada 11 malam, 11 Februari 2009, mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Sharizzat Amadan menawarkan jaminan RM6,000 dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa hingga kes selesai.

Peguam Mohamad Zahid Ahmad yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan isteri anak guamnya akan melahirkan anak pada bulan depan dan dia memerlukan wang.

Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dan keluarganya dilarang mendekati mangsa dan saksi pendakwaan hingga kes selesai serta menetapkan 28 April untuk sebutan semula kes.

Di mahkamah sama, tiga lelaki warga Bangladesh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan ke atas seorang lelaki warga Nepal, bulan lepas.

Sifat Sheikh, 21, Sambhu Darji, 28 dan Mohd Tamjid Hossein, 26, didakwa melakukan kesalahan itu ke atas Bajrng Kumar Jha dengan mengambil wang tunai RM100 dan sebuah telefon bimbit milik lelaki itu di belakang sebuah bank di Jalan Tun HS Lee, di sini pada 2.50 petang, 7 Mac lepas.

Pendakwaan adalah di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam sementara pendakwaan dikendalikan Mohamad Sharizzat.

Mahkamah menetapkan 22 April ini untuk sebutan semula kes. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!