MATF perlu lebih berkesan perangi rokok seludup

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF) boleh menjadi aset yang sangat berkesan untuk membanteras dagangan haram di Malaysia jika ada kesungguhan politik dan sokongan secukupnya diberikan kepada pasukan itu untuk melaksanakan tugas mereka.

Namun begitu, pasukan yang ditubuhkan sejak Januari 2020 bagi mengekang dagangan rokok seludup itu masih belum mencatat sebarang pencapaian membanggakan setakat ini.

Pengarah Urusan Advokasi Runcit dan Jenama Dagangan (RTBA) Malaysia, Datuk Fazli Nordin berkata, kerajaan boleh melihat kejayaan operasi Pasukan Petugas Khas Rokok Seludup (ITTF) yang diketuai Australian Border Force (ABF) ke atas lebih 100 ekar tanaman tembakau haram di tiga lokasi di wilayah New South Wales (NSW) dan Victoria.

Susulan kejayaan operasi itu, pegawai ITTF daripada pelbagai agensi kerajaan merangkumi ABF, Pejabat Cukai Australia, Polis Victoria dan NSW telah berjaya memusnahkan lebih 366 tan rokok seludup, yang hasilnya turut digunakan untuk membiayai jenayah terancang.

Katanya, rampasan terbaharu ITTF itu jelas membuktikan keberkesanan pasukan petugas pelbagai agensi seumpamanya.

"Malaysia pada masa ini mempunyai penembusan tertinggi rokok seludup di dunia iaitu sebanyak 63.8 peratus rokok dijual di negara ini adalah diseludup, menurut Kajian Rokok Seludup pada Disember 2020 yang dilakukan oleh NIELSEN," katanya pada satu kenyataan pada Jumaat.

Pasukan MATF pada asalnya mengandungi wakil dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Semasa membentangkan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengumumkan bahawa kerajaan akan menguatkan lagi MATF dengan penyertaan wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Pusat Anti Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC).

Artikel Berkaitan:

Fazli berkata, tindakan menguatkan MATF itu amat baik tetapi masih tiada laporan mengenai pelan tindakan, inisiatif dilaksanakan atau jika pasukan petugas ada mengadakan mesyuarat bagi menangani dagangan rokok seludup yang bagaikan sudah tidak dapat dibendung sama sekali.

“RTBA Malaysia mencadangkan agar MATF menggariskan matlamat-matlamat yang boleh dicapai dengan jelas, untuk mengurangkan dagangan rokok seludup yang menjadi masalah besar dan amat serius di mana-mana negara.

"Susulan daripada itu, pasukan petugas boleh kemudian merancang strategi tindakan bagi memenuhi matlamat- matlamat tersebut dan telus kepada orang ramai mengenai kejayaannya dan juga cabaran yang dihadapi," katanya.

Pada masa yang sama, katanya, kerajaan perlu menyokong peranan dan kepentingan MATF dengan menyediakan pasukan petugas tersebut dengan sumber-sumber yang tepat termasuk pembiayaan yang mencukupi, latihan dan peralatan supaya MATF boleh berfungsi sewajarnya.

"MATF tidak dapat berfungsi tanpa kesungguhan politik dan sokongan kewangan,” katanya.

Beliau menambah, seiring dengan keadaan ekonomi Malaysia berusaha untuk memulih daripada krisis Covid-19, kerajaan hendaklah melakukan yang terbaik untuk melindungi hasil negara daripada berlaku ketirisan.

"Dagangan rokok seludup adalah ketirisan dari segi hasil cukai tahunan sebanyak RM5 bilion yang MATF perlu lakukan apa sahaja untuk menutup ketirisan tersebut," tegasnya lagi.