Mayat Mohd Shahrudin ditemui, dipercayai lemas akibat kejang otot

Mayat mangsa dihantar ke HTAA untuk proses bedah siasat selepas ditemui kira-kira jam 2.20 petang pada Khamis.
Mayat mangsa dihantar ke HTAA untuk proses bedah siasat selepas ditemui kira-kira jam 2.20 petang pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Mayat seorang nelayan yang dipercayai lemas ketika berenang selepas melabuh bot miliknya di pantai Kampung Sungai Ular di sini ditemui kira-kira jam 2.20 petang pada Jumaat.

Mangsa, Mohd Shahrudin Rameli, 26, ditemui pasukan polis marin yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kira-kira 200 meter dari tempat dia dilaporkan lemas.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.

Menurutnya, susulan penemuan mayat mangsa, operasi SAR yang digerakkan sejak petang Khamis ditamatkan.

Operasi SAR mangsa digerakkan petang Khamis melibatkan beberapa agensi termasuk JBPM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis serta dibantu anggota Jabatan Amal dan penduduk.

Proses pencarian pada Jumaat melibatkan kawasan seluas 1.5 kilometer di pesisir pantai melalui kaedah pencarian di permukaan dan selaman oleh Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) bomba di lokasi dikenalpasti.

Mohd Shahrudin dikatakan turun ke pantai berseorangan bagi melabuhkan bot miliknya sebagai persiapan untuk turun menangkap ikan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa dipercayai mengalami kekejangan otot ketika berenang sebelum lemas.

Artikel Berkaitan:

Kehilangan mangsa disedari abangnya, Mohd Rozli Rameli, 40 setelah dia tidak kembali ke pantai.

Abangnya cuba mencari namun gagal mengesan mangsa lalu dimaklumkan kepada penduduk kampung untuk membantu mencari adiknya itu.

Kejadian kemudian dimaklumkan kepada pihak berkuasa sebelum operasi SAR digerakkan.

ARTIKEL BERKAITAN Operasi cari mangsa lemas diteruskan