Kerajaan beli vaksin bukan berdasarkan laporan berita: Khairy

Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan tidak akan membuat keputusan dalam pembelian vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca berdasarkan kepada laporan berita sebaliknya memperoleh data klinikal berhubung vaksin tersebut terlebih dahulu.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 yang dipengerusikan oleh beliau akan mendapatkan nasihat daripada dua pihak bertanggungjawab iaitu Jawatankuasa Teknikal Pemilihan Vaksin dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum membuat keputusan dalam pembelian vaksin.

Menurutnya, kerajaan juga akan meminta maklumat teknikal daripada pihak AstraZeneca sebelum membuat keputusan.

"Setiap pembelian atau penggunaan vaksin perlu melepasi tapisan daripada Jawatankuasa Teknikal Pemilihan Vaksin dan NPRA. Setakat ini, kerajaan belum menerima apa-apa maklumat untuk kita buat pendirian yang berbeza daripada apa yang ada sebelum ini.

"Bagaimanapun, apabila kita menerima maklumat baharu di dalam berita, kita akan minta daripada pihak AstraZeneca maklumat teknikal untuk membuat keputusan.

"Ia bagi membolehkan kedua-dua pihak tapisan itu membuat keputusan bagi menasihati menteri-menteri untuk membuat keputusan. Buat masa ini, kerajaan belum menerima sebarang nasihat dari kedua-duanya," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja di The Catalyst for Malaysia's Technology Ecosystem (CREST), Universiti Sains Malaysia di sini pada Jumaat.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, beliau yakin dengan kepakaran kedua-dua pihak tapisan tersebut untuk menganalisa maklumat klinikal terhadap vaksin berkenaan.

Akhbar melaporkan United Kingdom (UK) mengenalpasti 30 kes darah beku selepas pengambilan vaksin Covid-19 AstraZaneca.

Artikel Berkaitan:

Agensi Kawal Selia Produk Perubatan dan Penjagaan Kesihatan bagaimanapun berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan kejadian darah beku berpunca daripada pengambilan vaksin keluaran BioNTech dan Pfizer Inc.

Pada 18 Mac lalu, agensi kawal selia perubatan UK melaporkan terdapat lima kes kejadian darah beku pada otak dalam kalangan 11 juta penerima vaksin itu.

Dalam pada itu, Khairy berkata, setakat ini Malaysia masih belum mencapai tahap kemampuan untuk menghasilkan vaksin Covid-19.

Bagaimanapun, pihaknya telah meletakkan cabaran kepada para penyelidik negara untuk membangunkan vaksin bagi kegunaan manusia dalam tempoh 10 tahun lagi.

"Pandemik Covid-19 ini bukan pandemik terakhir melanda dunia, mungkin ada lagi epidemik dan pandemik daripada virus zoonotic.

"Semua negara perlu dalam keadaan bersedia namun buat masa ini, kemampuan Malaysia sangat terhad dan disebabkan itu kita perlu membeli (vaksin) dari negara luar," kata beliau.

Sementara itu, Khairy juga memaklumkan bahawa kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan masih belum membuat keputusan untuk mengurangkan tempoh kuarantin bagi mereka yang memasuki negara selepas menerima dua dos vaksin.

ARTIKEL BERKAITAN Malaysia terima 600,000 dos pertama vaksin AstraZeneca pada Jun