Smart Tani mudahkan pemilik ladang

Dr Sahruddin (dua dari kiri) menunjukkan buah nanas yang dituai di ladang Ber One Agro di Changlun, Kubang Pasu pada Khamis.
Dr Sahruddin (dua dari kiri) menunjukkan buah nanas yang dituai di ladang Ber One Agro di Changlun, Kubang Pasu pada Khamis.
A
A
A

KUBANG PASU - Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan memperluas penggunaan teknologi penanaman nanas di negara ini.

Pengerusi LPNM, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, penggunaan teknologi terkini dalam sektor penanaman mampu memberi impak kepada produktiviti pengeluaran nanas negara.

Beliau berkata, ia sejajar dengan Revolusi 4.0 di seluruh dunia termasuk dalam sektor pertanian di mana sektor itu memerlukan penggunaan teknologi terkini seperti Internet of Things (IoT) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan pertanian.

Sebagai contoh, katanya, ladang Ber One Agro milik Zulkafli Saidin, 53, yang terletak di Changlun di sini yang menggunakan sistem dipanggil Smart Tani.

“Sistem ini membolehkan data-data berkaitan agronomi tanaman seperti peratusan kandungan baja, pH tanah, kelembapan, suhu dan taburan hujan dicapai bagi menentukan keperluan sebenar tumbesaran pokok nanas,” katanya selepas melawat ladang Ber One Agro pada Khamis.

Beliau berkata, dengan sistem Smart Tani itu, data-data lokal yang dikumpulkan sensor di plot tanaman akan dihantar ke satu sistem rangkaian Sigfox Cloud yang kemudiannya dihimpunkan di dalam platform yang dinamakan ‘Satu Dashbord’.

“Semua data akan dapat dilihat dan dinilai dengan mudah hanya melalui telefon pintar bagi menentukan keperluan sebenar di lapangan.

“Dengan cara itu, pemilik dapat melaksanakan keperluan kerja di ladang dengan memberi arahan kepada pekerja tanpa turun ke ladang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Pembangunan) LPNM, Mohd Khairuzamri Salleh berkata, ladang nanas Ber One Agro seluas 16 hektar itu adalah yang pertama di Kedah menggunakan teknologi IoT sejak enam bulan lepas.

Selain Kedah katanya, penggunaan teknologi IoT itu telah diperluas di Negeri Sembilan dan Selangor.

“Saya mengharapkan lebih ramai lagi pengusaha ladang nanas di negara ini memilih teknologi ini untuk diaplikasikan di ladang mereka.

“Mana-mana pengusaha ladang yang berminat menggunakan IoT boleh merujuk kepada LPNM.

“Kita boleh menjadi pengantara kepada mereka untuk mendapatkan teknologi berkenaan,” kata beliau.

Dalam pada itu, Pengarah Ber One Agro Sdn Bhd, Zulkafli Saidin berkata, sistem Smart Tani membantu beliau memudahkan kerja-kerja pengurusan ladang apabila hanya perlu memantaunya menerusi telefon pintar.

“Sebelum ini saya mengerjakan ladang secara konvensional.

“Oleh itu, saya hanya dapat buat jangkaan terhadap situasi tanaman tetapi kini saya boleh mendapatkan data tepat termasuk kandungan baja dan juga pH tanah selain suhu.

“Semua di hujung jari. Saya hanya perlu buka telefon dan boleh tengok data penting yang dikumpul, contohnya pH tanah.

“Selain itu, kalau buah nanas saya tidak manis, saya boleh buka balik data untuk melihat apa puncanya.

“Saya boleh dapat jawapan kepada masalah saya dengan cepat dan tepat,” katanya.

Ketua Pembangunan Perniagaan Singularity Aerotech Asia Sdn Bhd, Afif Badhrulhisham pula berkata, teknologi Smart Tani yang dibangunkan pada tahun 2019 itu mendapat maklum balas positif daripada pengusaha nanas.

“Rata-rata mereka bersetuju bahawa teknologi ini membantu menjimatkan kos mereka selain meningkatkan pendapatan.

“Sebagai penambahbaikan, kita kini dalam proses membangunkan Smart Tani Pro yang mengandungi IoT, Digital Farming System dan platform Go to Market untuk melancarkan pengurusan ladang digital melalui aplikasi,” katanya.