Parti Islam tolak kerjasama dengan Netanyahu

Mansour Abbas dan Benjamin Netanyahu
Mansour Abbas dan Benjamin Netanyahu
A
A
A

BAITULMUQADDIS - Parti Islam, Raam yang memperoleh empat kerusi dalam Pilihan Raya Parlimen Israel pada 23 Mac lalu enggan menyokong Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang kini berusaha membentuk sebuah kerajaan campuran.

Ketuanya, Mansour Abbas juga tidak akan menyertai blok anti-Netanyahu selepas parti Likud pimpinan Perdana Menteri sementara itu gagal mendapat majoriti dalam pilihan raya tersebut.

"Saya di sini (Parlimen) adalah untuk satu blok yang berbeza. Blok yang memilih saya untuk berkhidmat kepada penduduk dan memberikan mandat untuk membuat perubahan kepada masyarakat awam Arab," katanya kepada AFP pada Khamis.

Abbas. 46, menyenaraikan masalah jenayah, perkauman dan kemiskinan yang dihadapi oleh penduduk Arab Israel yang mewakili 20 peratus daripada 9.3 juta penduduk di Israel.

Parti Netanyahu itu hanya memperoleh 30 kerusi dalam pilihan raya parlimen tersebut menyebabkan beliau terpaksa bekerjasama dengan parti-parti lain bagi mendapat majoriti mudah sekali gus membentuk sebuah kerajaan campuran baharu.

Bagaimanapun, walaupun hanya menang 30 kerusi, Likud merupakan parti politik terbesar di Parlimen yang mempunyai 120 kerusi.

Pilihan raya kali keempat dalam masa dua tahun itu terpaksa diadakan selepas kerajaan campuran pimpinan Netanyahu retak ekoran perbalahannya dengan Menteri Pertahanan sementara,

Benny Gantz yang juga ketua Parti Ketahanan Israel. Parti Gantz itu hanya memenangi lapan kerusi.

Artikel Berkaitan:

Presiden Israel, Reuven Rivli berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua parti politik pada minggu depan bagi membincangkan tentang cara terbaik bagi membentuk sebuah kerajaan campuran.

Ketika Rivli memulakan perbincangan itu pada Isnin ini, Netanyahu akan menghadiri perbicaraan kes rasuahnya, penipuan dan pecah amanah tetapi beliau tidak mengaku melakukan semua perbuatan tersebut. - Agensi