Suu Kyi dituduh langgar undang-undang kerahsiaan

AUNG SAN SUU KYI - Foto: AFP
AUNG SAN SUU KYI - Foto: AFP
A
A
A

YANGON - Ketua parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD), Aung San Suu Kyi dituduh melanggar undang-undang kerahsiaan di Myanmar pada 25 Mac lalu, kata peguam belanya, Khin Maung Zaw pada lewat malam Khamis.

Menurut portal berita The Guardian, ketua parti NLD itu bersama tiga bekas menteri kabinet dan seorang ahli ekonomi Australia, Sean Turnell didakwa atas dakwaan tersebut di sebuah mahkamah di Yangon, kata Maung Zaw.

Beliau dilaporkan berkata, bekas Penasihat Negara itu juga bakal berdepan dengan beberapa tuduhan lain.

Hukuman penjara sehingga 14 tahun akan dikenakan jika sabit kesalahan di bawah satu undang-undang kerahsiaan yang dilaksanakan ketika Myanmar berada di bawah penjajahan Inggeris itu.

Bagaimanapun, menurut portal berita tersebut, jurucakap tentera tidak menjawab panggilan telefon ketika diminta bagi memberikan komen berhubung tuduhan tersebut.

Suu Kyi, 75, dan beberapa pemimpin NLD ditahan sebelum tentera melancarkan rampasan kuasa secara aman pada 1 Februari lalu selepas ia mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya umum di negara tersebut pada November tahun lalu.

Dalam pilihan raya itu, parti NLD memperoleh kemenangan besar sekali gus mampu membentuk sebuah kerajaan awam.

Berikutan penangkapan Suu Kyi, lebih 500 penduduk Myanmar terbunuh ketika pihak berkuasa menyuraikan tunjuk perasaan antirampasan kuasa tentera diadakan secara aman di negara itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, firma-firma internet diarahkan memutuskan perkhidmatan, kata pihak penyedia perkhidmatan itu, Ooredoo seperti dilaporkan AFP.

Ekoran itu, berpuluh-puluh negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan kenyataan mengutuk penutupan tersebut selain menyuarakan kebimbangan mendalam

terhadap nasib para petugas media di Myanmar. - Agensi