Perbalahan projek trilion dolar Biden di AS

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden merancang memperkenalkan pelan infrastruktur yang bernilai AS$2 trilion (RM8.29 trilion) dipercayai akan memacu perkembangan ekonomi negaranya. - Foto AFP
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden merancang memperkenalkan pelan infrastruktur yang bernilai AS$2 trilion (RM8.29 trilion) dipercayai akan memacu perkembangan ekonomi negaranya. - Foto AFP
A
A
A

PELAN infrastruktur Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden bernilai AS$2 trilion (RM8.29 trilion) yang diumumkannya pada Rabu lalu dipercayai akan membantu meningkatkan ekonomi negara itu yang terjejas ketika ini akibat pandemik Covid-19.

Ia merupakan inisiatif baharu Biden selepas Pelan Menyelamat Amerika bernilai AS$1.9 trilion (RM7.87 trilion) bagi menangani kesan Covid-19 diluluskan oleh Kongres AS pada Mac lalu.

Pelan baharu itu juga dianggap Biden akan mereka bentuk semula infrastruktur di negara tersebut selain menjadi pelaburan terbesar untuk satu generasi di AS sekali gus penting untuk masa depan Amerika.

Beliau mendedahkan pelan tersebut ketika berucap kepada orang ramai semasa melakukan lawatan di Pittsburg dengan mendakwa ia akan membolehkan AS mengatasi China daripada segi pencapaian ekonomi dan pemimpin dalam teknologi hijau.

Dalam ucapannya di Pusat Latihan Kesatuan Tukang Kayu di Pittsburg itu, Biden juga menyatakan bahawa pelan tersebut merupakan pelaburan pekerjaan terbesar Amerika sejak Perang Dunia Kedua kerana ia akan membuka berjuta-juta peluang pekerjaan.

Dalam pelan itu, jalan-jalan raya, jambatan dan perkhidmatan kereta api akan dibina, berjuta-juta rumah mampu miliki didirikan, menyediakan perkhidmatan jalur lebar serta membantu industri tenaga hijau berkembang.

Sejumlah wang akan diperuntukkan untuk menggantikan paip-paip air dan meningkatkan sistem kumbahan, meningkatkan rangkaian tenaga untuk membekalkan elektrik, sekolah-sekolah dimodenkan, hospital-hospital diubah suai selain sektor pengeluaran AS diperkukuhkan.

Pelan itu yang akan melibatkan tempoh lebih lapan tahun dijangka diluluskan oleh Dewan Senat dengan majoriti mudah sama seperti Pelan Menyelamat Amerika itu walaupun mendapat tentangan daripada parti Republikan.

Artikel Berkaitan:

Dana bagi membiayai projek itu datang daripada cukai korporat yang akan dinaikkan kepada 28 peratus berbanding 21 peratus pada zaman pemerintahan Presiden AS ke-45, Donald Trump.

Ketika Trump memerintah, beliau mengurangkan cukai korporat kepada 21 peratus berbanding 35 peratus.

Bagaimanapun, beberapa ahli ekonomi yang berfahaman konservatif bimbang satu lagi rangsangan ekonomi yang besar akan mencetuskan kenaikan dalam kadar inflasi dan kenaikan hutang negara.

Pada 1 Oktober 2020, kadar hutang di AS melepasi AS$27 trilion (RM111.93 trilion) manakala kadar inflasi negara itu pada Februari lalu ialah 1.7 peratus.

Dalam pada itu, Trump daripada parti Republikan turut membidas pelan tersebut dengan menganggapnya sebagai cadangan radikal dan diwujudkan menerusi wang kenaikan cukai yang tidak munasabah sekali gus boleh menyebabkan perniagaan AS berpindah ke negara lain termasuk China.

Menurut portal berita Boston Herald, beliau membuat kenyataan itu sehari selepas menyatakan para penyokongnya berharap beliau akan bertanding sekali lagi dalam pilihan raya Presiden AS pada 2024.

Pengumuman Biden daripada parti Demokrat itu untuk meningkatkan infrastruktur tersebut menggembirakan komuniti perniagaan AS tetapi mereka dilaporkan tidak menyukai kadar cukai korporat dinaikkan.

Portal Market Herald melaporkan Naib Presiden Eksekutif Dewan Perdagangan AS, Neil Bradley menyatakan bahawa pihaknya menentang kenaikan cukai itu yang akan memperlahankan pemulihan ekonomi dan menjadikan AS kurang daya kompetitif di peringkat global.

Sekumpulan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang menyertai Persatuan Meja Bulat Bisnes pula menyatakan hanya AS$1 trilion (RM4.15 trilion) hingga AS$1.5 trilion (RM6.22 trilion) diperlukan untuk meningkatkan pelaburan fizikal di AS.

Presiden Persatuan Meja Bulat dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Joshua Bolton dilaporkan menyatakan pihaknya turut menentang kenaikan dalam cukai korporat itu sebagai sumber kewangan untuk membiayai perbelanjaan infrastruktur tersebut kerana ia akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Menurut portal berita CNBC, bagi membiayai projek pelaburan itu, Biden akan menghapuskan pelepasan cukai yang diberikan kepada beberapa industri tetapi warga AS yang berpendapatan tinggi mungkin perlu membayar cukai yang lebih tinggi pada masa depan.

Namun, Institut Petroleum Amerika yang merupakan persatuan perdagangan minyak dan gas terbesar di AS juga menentang pengenalan cukai baharu bagi membiayai perbelanjaan infrastruktur itu kerana ia hanya akan menjejaskan pemulihan ekonomi AS. - Agensi