Tiga jawatankuasa majlis khas MA63 bentang laporan minggu depan

Muhyiddin (tengah) diiringi Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (dua,kiri) pada majlis Jamuan Negeri sempena lawatan kerja dua hari beliau ke Sarawak, hari ini. -Foto Bernama
Muhyiddin (tengah) diiringi Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (dua,kiri) pada majlis Jamuan Negeri sempena lawatan kerja dua hari beliau ke Sarawak, hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - [DIKEMAS KINI] Tiga Jawatankuasa Kerja di bawah Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan membentangkan laporan serta syor-syor mengenai perkara yang dibincangkan di peringkat jawatankuasa minggu depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, tiga jawatankuasa itu ialah Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu, Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Sabah dan Sarawak dan Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi.

“Penubuhan tiga jawatankuasa kerja ini bertujuan mengesyorkan kepada Majlis Khas MA63 berhubung cadangan penyelesaian isu-isu spesifik berkaitan perundangan bagi rakan sekutu, keselamatan negeri dan sosioekonomi selaras dengan hak-hak Sabah dan Sarawak dalam kerangka perundangan negara,” katanya.

Berucap pada majlis Jamuan Negeri di Bangunan Baru Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini pada malam Khamis, beliau berkata, terdapat beberapa cadangan yang melibatkan pindaan perlembagaan Persekutuan mengenai hak Sabah dan Sarawak yang telah diteliti oleh Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu.

“Perkara berkaitan dengan hal ehwal imigresen, pendaftaran negara, kawalan sempadan, pendatang asing tanpa izin dan pencerobohan nelayan asing dalam Zon Ekonomi Eksklusif telah dibincangkan oleh Jawatankuasa Kerja Keselamatan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Perdana Menteri berkata, hal-hal berkaitan dengan pembangunan sosioekonomi Sarawak seperti isu kemiskinan, infrastruktur jalan raya, kesihatan, pendidikan, capaian internet dan telekomunikasi, caj dan sewaan tanah di bawah Ordinan Tanah Sarawak dan pemberian khas kepada Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan juga telah dibincangkan oleh Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi.

“Saya menaruh harapan yang tinggi agar isu-isu yang berbangkit akan dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik dan dengan itu hubungan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak akan kekal kukuh dan bertambah akrab demi kepentingan rakyat,” katanya.

Muhyiddin dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Sarawak akan meneruskan programnya pada Jumaat dengan bersarapan pagi di Restoran Sepinang Sari, sebuah restoran yang terkenal dalam kalangan masyarakat tempatan dengan keenakan ‘Mi Sapi Hj Salleh’ di Jalan Satok di sini.

Artikel Berkaitan:

Seterusnya, beliau akan menyertai program Prihatin dan Penjana di Medan Niaga Satok sebelum berangkat ke Bahagian Samarahan bagi program Ziarah Prihatin Kampung Sindang Baru dan perjumpaan bersama pemimpin masyarakat di Dewan Perguruan Tun Abd Razak di Kota Samarahan.

Perdana Menteri juga akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Darul Ikhlas di Muara Tuang sebelum menghadiri makan tengah hari bersama kepimpinan masyarakat di sebuah hotel di sini sebelum mengakhiri lawatannya dengan meninjau projek menaik taraf Hospital Umum Sarawak. - Bernama