Kelab 'kerdil' Kerteh FC bakal miliki stadium sendiri

Razeman (dua dari kiri) mewakili Kertih Sports City Sdn Bhd (KSCSB) memeterai perjanjian menaik taraf Stadium Mini Kertih dengan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) yang diwakili Yang Dipertuanya, Jusman Ibrahim (dua dari kanan) di Kelab Golf Rantau Petronas, Kemaman pada Rabu.
Razeman (dua dari kiri) mewakili Kertih Sports City Sdn Bhd (KSCSB) memeterai perjanjian menaik taraf Stadium Mini Kertih dengan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) yang diwakili Yang Dipertuanya, Jusman Ibrahim (dua dari kanan) di Kelab Golf Rantau Petronas, Kemaman pada Rabu.
A
A
A

BIARPUN namanya tiga segah kelab lain, kelab Liga M4 Kerteh FC terus mengorak langkah apabila memiliki stadium sendiri menerusi projek menaik taraf stadium membabitkan kos RM7 juta yang akan dibangunkan di bandar Kerteh, Kemaman, Terengganu.

Ahli Lembaga Pengarah Kerteh Sport City Sdn Bhd (KSCSB), Razeman Mat Nashim berkata, pihaknya bersama Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) telah menandatangani perjanjian penyerahan bagi kerja-kerja menaik taraf dan menguruskan Stadium Mini Kerteh pada Rabu.

Beliau berkata, KSCSB juga bertanggungjawab membina dan memasang padang sintetik bagi menggantikan padang rumput sedia ada bagi kegunaan sukan bola sepak.

"KSCSB diberi tanggungjawab mengubah suai dan menguruskan Stadium Mini Kerteh yang akan dikenali sebagai Kerteh Sports City yang turut dilengkapi pelbagai fasiliti lain.

"Kerjasama dengan MPK adalah berdasarkan konsep menang-menang bagi membangunkan kompleks sukan di mukim Kerteh dan daerah Kemaman secara keseluruhannya," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Menerusi perjanjian itu, beliau berkata, MPK berperanan sebagai pemilik aset, manakala KSCSB akan membiayai sepenuhnya kos pembangunan dan operasi projek; pembinaan fasiliti dan pengurusan aset; perkhidmatan kebersihan; perkhidmatan keselamatan; perkhidmatan teknikal; promosi; pengiklanan dan pengurusan acara bersama MPK.

"Kerteh bakal menjadi bandar sukan serba lengkap menjelang tahun 2027.

"Projek pembangunan di kawasan seluas 8.49 hektar akan dilaksanakan dalam lima fasa dengan kerja-kerja awal membabitkan baik pulih padang sintetik, lampu limpah, pembinaan gelanggang futsal, gimnasium dan pusat komersial," katanya.

Artikel Berkaitan:

Razeman berkata, fasa kedua bakal menyaksikan pembinaan sebuah dewan badminton di kawasan berkenaan bagi menyediakan kemudahan bagi peminat sukan itu.

“Fasa ketiga, keempat dan kelima pula melibatkan pembinaan bangunan residensi, padang latihan serta fasiliti untuk kemudahan peminat terutama tempat duduk penonton.

"Apabila fasa pertama lengkap, KSCSB merancang untuk menambah baik kerjasama terutama dengan Kementerian Belia dan Sukan, Fit Malaysia dan agensi-agensi lain untuk terus memberi nilai tambah kepada komuniti khususnya di Kerteh," katanya.

KSCSB adalah syarikat usaha sama antara KAL Services Sdn Bhd serta pelabur utama projek, Red Antlers Sdn Bhd yang ditubuhkan untuk projek menaik taraf dan mengurus Stadium Mini Kerteh serta pembangunan Kerteh Sports City.

Sebelum ini, Kerteh FC mengorak langkah mengadakan kerjasama dengan sebuah kelab bola sepak antarabangsa yang berpangkalan di Barcelona, Sepanyol iaitu UE Sant Andreu yang menyokong matlamat mengembangkan bakat-bakat baharu bola sepak di rantau ini.

Kelab yang diberi gelaran 'The Oiler' yang berpusat di Kemaman itu juga menjalinkan kerjasama dengan seorang pakar bola sepak antarabangsa, Oscar Riera yang berpengalaman luas dalam aspek teknikal bolasepak yang kini menjadi penasihat teknikal kepada kelab bola sepak berkenaan.