Pekerja Bangladesh terima faedah pertama Perkeso

John Riba (kanan) menyerahkan cek Faedah Hilang Upaya Sementara kepada Sahin yang patah tangan kiri selepas terlibat dalam kemalangan di tempat kerjanya, bulan lalu
John Riba (kanan) menyerahkan cek Faedah Hilang Upaya Sementara kepada Sahin yang patah tangan kiri selepas terlibat dalam kemalangan di tempat kerjanya, bulan lalu
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Seorang pekerja kilang warga Bangladesh menjadi individu pertama menerima faedah caruman Skim Bencana Pekerjaan Pekerja Asing, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), hari ini.

Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, John Riba Marin berkata, faedah itu adalah pertama diberikan selepas skim baharu itu berkuatkuasa pada 1 Januari lalu.

Menurutnya, sejumlah RM1,170 telah diberikan kepada Sahin, 37, yang mengalami patah tangan kiri ketika menjalankan kerja-kerja 'Counter Sinking' 4 Januari lalu.

"Kejadian itu berlaku apabila sarung tangannya tersangkut pada 'drill pit' menyebabkan tangannya terpusing dan patah. Dia telah menerima rawatan dan diberi sijil cuti sakit selama 40 hari.

"Majikannya, Belton Springs Sdn Bhd telah mendaftarkan semua pekerjanya dibawah skim terbabit pada 2 Januari lalu. Berdasarkan permohonan tersebut, pekerja terbabit layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek kepada Sahin di Kawasan Perindustrian Ringan Sungai Siput di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Perkeso Perak, A Anthony Arul Dass dan Pengurus Perkeso Kuala Kangsar, Noriah Abd Karim.

Sahin (tengah) telah didaftarkan di bawah Skim Bencana Pekerjaan Pekerja Asing yang melayakkannya menerima faedah daripada Perkeso, semalam.
Sahin (tengah) telah didaftarkan di bawah Skim Bencana Pekerjaan Pekerja Asing yang melayakkannya menerima faedah daripada Perkeso, semalam.

Artikel Berkaitan:

John Riba berkata, selepas dua bulan diperkenalkan, seramai 135,721 pekerja asing melibatkan 12,321 majikan telah didaftarkan menerusi skim itu berbanding anggaran 1.9 juta yang bekerja di negara ini.

"Jumlah yang mendaftar itu sangat baik dalam tempoh ini. Semua pekerja asing yang mempunyai permit kerja sah wajib didaftarkan dan mencarum dengan Perkeso. Sebelum ini, mereka dilindungi Skim Pampasan Pekerja Asing dibawah Akta Pampasan Pekerja 1952 yang telah berakhir 31 Disember lalu.

"Kini, di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1966 (Akta 4), skim itu memberi perlindungan kepada pekerja asing yang mengalami kemalangan, penyakit yang terbit atau berpunca daripada pekerjaannya," katanya.

Menurutnya, di Perak, statistik menunjukkan hanya 705 majikan telah mendaftarkan 6,276 pekerja asing dengan Perkeso.

"Majikan diwajibkan untuk mencarum sebanyak 1.25 peratus daripada jumlah gaji bulanan pekerja di bawah Skim Bencana Pekerjaan Pekerja Asing itu," katanya.