Netanyahu guna taktik sama

Bennett (kiri) tidak menolak untuk bergabung dengan Netanyahu. - Foto Agensi
Bennett (kiri) tidak menolak untuk bergabung dengan Netanyahu. - Foto Agensi
A
A
A

TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Rabu menggunakan taktik sama seperti sebelum ini yang menggesa parti berhaluan kanan untuk bergabung bersama beliau bagi menubuhkan kerajaan perpaduan.

Netanyahu berkata demikian menerusi ucapan pertama beliau sejak Pilihan Raya Umum keempat yang diadakan dalam tempoh dua tahun pada minggu lalu.

Keputusan akhir menunjukkan Parti Likud pimpinan Netanyahu meraih 30 daripada 120 kerusi di Knesset (Parlimen), namun majoriti 61 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan yang goyah sejak tahun 2019.

"Ayuh ketepikan perbezaan kita untuk membentuk kerajaan yang stabil," ujarnya.

Parti Yamina pimpinan bekas sekutunya, Naftali Bennett yang memenangi tujuh kerusi dijangka bergabung dengan Parti Harapan Baharu yang dipimpin Gideon Sa'ar untuk merealisasikan rancangan Netanyahu.

Sebelum ini, Sa'ar yang pernah menganggotai Likud telah beberapa kali menolak untuk menyertai Netanyahu.

Ketika ini, pemimpin yang menghadapi kes rasuah itu juga berdepan blok Parti Yesh Atid yang berhasrat untuk menyingkirkan kepimpinan beliau yang memegang kuasa selama 12 tahun.

Pada Isnin, Presiden Reuven Rivlin berkata, beliau akan memilih calon yang akan ditugaskan untuk membentuk kerajaan baharu pada 7 April ini. - AFP

Artikel Berkaitan: