Kerajaan tawar pembiayaan RM11.75 bilion kepada 24,824 PKS

Tengku Zafrul Abdul Aziz
Tengku Zafrul Abdul Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menawarkan bantuan Dana Pinjaman Mudah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) melibatkan pembiayaan berjumlah RM11.75 bilion kepada 24,824 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang telah menerima kelulusan sehingga 19 Mac 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, antara dana yang terlibat termasuklah Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Kemudahan Automasi dan Digitalisasi (ADF), Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES) dan lain-lain.

Menurutnya, bagi membantu usahawan bumiputera, kerajaan menerusi Perbadanan Usahawan Malaysia Bhd (PUNB) menawarkan bantuan dana Bumiputera Relief Fund berjumlah RM200 juta bagi PKS terlibat, dengan nilai bantuan antara RM100,000 hingga RM1 juta dan telah disalurkan kepada 675 PKS sehingga kini.

"Meskipun dana Kemudahan Bantuan Khas telah dimanfaatkan sepenuhnya, tabung BNM masih menawarkan dana ADF, AES dan kemudahan agrofood serta pembiayaan lain yang masih tersedia.

"PKS boleh memohon padanan pembiayaan menerusi platform imSME," katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-47 yang dikeluarkan pada Khamis.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga telah membelanjakan sebanyak RM51.3 juta dalam bentuk geran dan pinjaman kepada 11,412 PKS bagi langganan perkhidmatan digitalisasi.

Sejumlah RM100 juta peruntukan dalam bentuk pinjaman dengan faedah 3.5 peratus dan RM30 juta geran untuk industri kreatif, acara dan pameran di bawah MyCreative Ventures manakala RM10 juta adalah di bawah Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (Cendana).

"Bagi inisiatif Cendana pula, sebanyak RM2.17 juta telah disalurkan kepada 394 penerima (berbanding RM2.16 juta untuk 393 penerima pada minggu sebelumnya).

Artikel Berkaitan:

"Penerima terdiri daripada kalangan seniman, kolektif dan organisasi yang terlibat aktif dalam sektor seni dan budaya Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul berkata, para penggiat industri kreatif disarankan untuk menggunakan peluang kemudahan yang disediakan ini dalam menghasilkan karya mereka.

Bagi pemerkasaan golongan orang kelainan upaya (OKU), kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM26 juta bagi meningkatkan had kelayakan gaji maksimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 bagi bantuan Elaun Pekerja Cacat.

"Inisiatif ini akan memanfaatkan hampir 5,000 OKU dalam mendepani tempoh yang sukar bagi mereka.

"Kerajaan juga telah menambah RM20 juta di bawah Pakej Bantuan Pemerkasa daripada peruntukan asal bagi membantu program keusahawanan termasuk memasarkan produk bakeri dan hasil tangan oleh golongan OKU dan warga emas, di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat," katanya.

Selain itu, bagi menggalakkan golongan OKU untuk menceburi bidang perniagaan, kerajaan memberikan peluang untuk mereka mendaftar dan memperbaharui perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia secara percuma.

"Kerajaan juga menyediakan RM25 juta di bawah Skim Mikrokredit Istimewa seliaan Bank Simpanan Nasional, khas buat golongan OKU yang ingin menceburi bidang perniagaan," katanya. - Bernama