Tiada bukti tunjuk wang dalam akaun Roger Ng daripada 1MDB

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis diberiitahu bahawa tiada bukti 13 urus niaga bank melibatkan beberapa akaun bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa dan isterinya boleh dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam, Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Ng dan isteri, Lim Hwee Bin, berhujah bahawa tiada bukti dalam afidavit dua pegawai penyiasat, Superitendan Foo Wei Min dan Asisten Komisioner R Rajagopal menunjukkan aliran dana dalam tujuh akaun berkait dengan 1MDB.

“Wang yang masuk ke dalam tujuh akaun milik Ng dan Lim itu adalah wang mereka sendiri dan tidak ada bukti prima facie yang menunjukkan dana dalam akaun mereka adalah hasil aktiviti haram.

“Transaksi yang dimaksudkan adalah antara 7 Ogos 2015 dan 17 Ogos 2018. Daripada tujuh akaun bank, empat akaun milik Ng sendiri manakala dua akaun bersama dengan Lim dan satu akaun Lim," kata Tan semasa berhujah dalam permohonan kerajaan bagi melucutkan hak terhadap pasangan itu dan 16 yang lain.

Antara 13 urus niaga yang dikemukakan pada prosiding pada Khamis adalah S$2,656,786.34 dalam hasil jualan rumah Ng di Singapura pada 19 Mei, 2017, RM13,737.50 dalam saham syarikat pada 17 Ogos, 2018; RM85,864.21 pembayaran kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Singapura (IRAS) pada 21 Mei 2018 serta RM170,183.11 dalam pindahan dana antara Ng kepada Lim pada 7 Ogos, 2015.

Tan berhujah bahawa pihak pendakwaan perlu membuktikan keseimbangan kemungkinan bahawa akaun bank milik pasangan itu adalah perkara yang berkaitan dengan pelanggaran kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram atau hasil daripada aktiviti haram.

Tan kemudian memohon mahkamah menolak permohonan pelucutan hak terhadap Ng dan Lim.

Perbicaraan dihadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 5 April ini.

Artikel Berkaitan:

Pada 8 Mei 2019, Jabatan Peguam Negara memfailkan notis perlucutan hak terhadap ratusan barangan termasuk beg tangan berjenama serta 27 buah kereta yang dirampas daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, tiga anak mereka dan 13 individu lain dan syarikat, yang dikatakan ada kaitan dengan 1MDB.

Selain itu, wang berjumlah lebih RM18 juta dalam beberapa akaun di Bank Islam Malaysia Bhd, Al-Rajhi Bank Bhd, Malayan Banking Bhd, CIMB Bank Bhd, RHB Bank Bhd, Public Bank Bhd, AmBank Bhd dan Hong Leong Bank Bhd dibekukan antara 16 Ogos 2018, dan 11 Mac 2019.

Najib dinamakan sebagai responden pertama diikuti Rosmah dan anak mereka iaitu Nor Ashman Razak Mohd Najib dan Nooryana Najwa Mohd Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz (anak tiri Najib), Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe (ibu kepada Low Taek Jho); Ng, Lim, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden pertama hingga ke-18. - Bernama