Malaysia dominasi pasaran sukuk global

Malaysia terus dominasi pasaran sukuk global pada 2020 dengan menguasai 39.2 peratus bahagian pasaran. - Foto 123RF
Malaysia terus dominasi pasaran sukuk global pada 2020 dengan menguasai 39.2 peratus bahagian pasaran. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia terus mendominasi pasaran sukuk global pada 2020 dengan menguasai 39.2 peratus bahagian pasaran meskipun impak pandemik Covid-19 ke atas ekonomi global dan sentimen ekonomi.

RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) berkata, terbitan sukuk global meningkat 16.8 peratus kepada AS$152.6 bilion (AS$1=RM4.14) tahun lepas berbanding AS$130.6 bilion pada 2019.

“Pasaran suku terbesar seterusnya ialah Arab Saudi (20.4 peratus) dan Indonesia (17.5 peratus). Secara kolektifnya pasaran-pasaran ini menyumbang 77.1 peratus daripada terbitan sukuk global,” katanya dalam laporan Sukuk Snapshot terbaharu, hari ini.

Agensi penarafan itu berkata, impak penularan Covid-19 menyaksikan terbitan kukuh daripada negara-negara di dunia pada 2020 untuk membiayai pakej rangsangan bagi menyokong ekonomi yang terjejas akibat pandemik itu.

RAM Ratings berkata, pertumbuhan ekonomi tempatan disokong oleh dasar monetari yang menyokong dan perbelanjaan kukuh kerajaan.

“Hasilnya, terbitan kerajaan meningkat 9.2 peratus tahun ke tahun kepada AS$87.5 bilion pada 2020 berbanding AS$80.1 bilion pada 2019,” katanya.

Tiga negara yang mencatatkan terbitan utama - Indonesia dengan 29.9 peratus bahagian pasaran (US$26.2 bilion), Malaysia dengan 28.2 peratus (AS$24.6 bilion) dan Arab Saudi dengan 20.7 peratus (AS$18.1 bilion) menyumbang kepada lebih dua pertiga daripada terbitan kerajaan global pada 2020.

Sukuk Snapshot RAM merupakan rujukan pantas bagi data dan trend sukuk. Penerbitan laporan itu bertujuan untuk menyediakan kepada keperluan pengamal pasaran bagi membolehkan mereka memantau perkembangan pasaran sukuk Malaysia dan global. - Bernama

Artikel Berkaitan: