Tiga paksi lahirkan pemimpin berintegriti selamatkan rakyat

Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd Khairuddin Aman Razali
A
A
A

SHAH ALAM - Terdapat tiga paksi utama untuk mengukur integriti bagi membolehkan kerajaan menyelamatkan rakyat, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata, tiga paksi untuk melahirkan pemimpin yang ikhlas, telus dan bertanggungjawab ialah akidah, syariah serta akhlak.

Menurutnya, akidah ialah meyakini dosa pahala, syurga dan neraka yang mendorong seseorang pemimpin yang berintegriti.

“Tindak-tanduk sebagai pemimpin ialah bukan bimbang ditegur dan dinilai oleh rakyat, tetapi kerana menyedari dia akan dihisab di hari akhirat yang panjang.

“Polis yang memantau dirinya bukannya manusia tetapi para malaikat yang sentiasa ada di mana-mana dia berada,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau pada Khamis.

Selain itu, beliau berkata, syariat pula menyusun halal haram dalam setiap tindakan dan menjadikan pemimpin sentiasa bertindak mengikut panduan wahyu al-Quran dan hadis.

Menurutnya, pemimpin tidak hanya berfikir dengan akal yang terbatas berhubung kebaikan untuk rakyat dan menolak kemudaratan tetapi dipandu dengan pedoman wahyu ALLAH.

“Akhlak Islam pula yang membentuk sahsiah dan keperibadian seorang pemimpin dan menjadikan dirinya sentiasa berinteraksi dengan rakyat secara penuh tawaduk, tidak sombong, mesra rakyat, pemurah dan sentiasa menjadi pendengar yang baik terhadap rintihan rakyat,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurut Khairuddin, itulah tawaran kerajaan berintegriti penyelamat rakyat oleh Pas sebagaimana ditekankan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.