RTC Perak rancakkan semula agromakanan negara

Ronald (dua dari kanan) dibawa meninjau kemudahan yang disediakan di RTC Perak dalam lawatan kerja ke Perak pada Khamis.
Ronald (dua dari kanan) dibawa meninjau kemudahan yang disediakan di RTC Perak dalam lawatan kerja ke Perak pada Khamis.
A
A
A

GOPENG - Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak, di sini kembali merancakkan semula sektor agromakanan negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Usaha itu dilaksanakan menerusi insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang disalurkan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi menjamin sekuriti makanan negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada Khamis melakukan lawatan kerja ke RTC Perak bagi meninjau fasiliti yang disediakan.

Ketika lawatan tersebut, Ronald berkata, FAMA akan terus diperkasakan untuk membantu usahawan agromakanan khususnya penduduk luar bandar dalam memasarkan barangan dan produk-produk mereka.

"RTC Perak memberi peluang kepada masyarakat setempat menceburi bidang keusahawanan yang bukan sahaja dapat membantu mereka meningkatkan pendapatan bahkan menjamin kelangsungan barangan komoditi bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

"Bagi meningkatkan aktiviti ekonomi sektor agromakanan negara melalui Penjana, FAMA telah menyediakan Pelan Perancangan Pembangunan RTC Perak bagi tahun 2021-2025 bagi merancakkan lagi aktiviti ekonomi di sini selain dapat memberi kesan positif kepada peserta dan usahawan yang terlibat," katanya.

Sementara itu, RTC Perak diwujudkan bagi meningkatkan sosio ekonomi penduduk setempat di mana pelbagai aktiviti bercorak nilai tambah yang tinggi telah dilaksanakan dengan tujuan untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Selain itu, RTC Perak juga menjadi pusat pengedaran bagi syarikat tenusu seperti Farm Fresh dengan nilai jualan sebulan RM 600,000 melibatkan 100 usahawan produk tenusu.

Artikel Berkaitan:

Sebuah syarikat iaitu Gopeng Berhad menjadikan RTC Perak sebagai pusat pengumpulan, pengedaran dan pengeksportan nanas MD2.

Syarikat tersebut juga telah mengeluarkan jenama sendiri iaitu dengan jumlah pengeluaran dianggarkan sejumlah 200,000 kg bernilai RM500,000 dan dipasarkan untuk pasaran tempatan dan eksport.

Secara keseluruhannya, pada tahun 2020, nilai jualan RTC Perak sebanyak RM91.07 juta dengan melibatkan 92 orang peserta.

Lawatan kerja itu turut disertai oleh Ketua Pengarah Jabatan Veterinar (DVS), Datuk Dr Norlizan Mohd Noor dan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Bin Yang Razalli.

Dalam sesi lawatan berasingan, Ronald turut melawat ke Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu (PPIT) Tapah bagi meninjau perkembangan projek naik taraf prasarana dan bangunan di PPIT tersebut yang bertujuan mendapatkan pensijilan Good Veterinary Health Practice (GVHP).

PPIT Tapah merupakan PPIT kedua di Malaysia yang dinaiktaraf untuk pensijilan GVHP selepas PPIT Merlimau.

Usaha yang dilakukan MAFI itu membolehkan PPIT Tapah menyediakan ruang pemprosesan bagi membantu penternak dan koperasi terlibat dalam aktiviti hiliran dengan menghasilkan produk nilai tambah berasaskan susu seperti susu berperisa, dadih dan aiskrim.

PPIT Tapah dibangunkan pada tahun 1996 dan beroperasi pada tahun 1997 dengan keluasan kawasan 1.2 hektar.

Pusat ini juga berfungsi untuk membantu penternak dan koperasi yang terlibat sebagai tempat pengumpulan dan penyimpanan susu segar sebelum dihantar ke kilang pemprosesan susu.

Sehingga kini, pusat tersebut menyediakan perkhidmatan kepada 28 penternak tenusu dengan jumlah susu segar yang dihasilkan oleh penternak di sekitar PPIT berkenaan pada tahun 2020 adalah sebanyak 542,987 liter.