MA63: Semua tuntutan Sarawak dinilai secara adil

Muhyiddin - Foto Bernama
Muhyiddin - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - [DIKEMAS KINI] Kerajaan persekutuan akan menilai semua tuntutan yang dibawa oleh Sarawak terutamanya yang melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan adil, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri juga memberi jaminan bahawa hak-hak Sarawak akan terus dilindungi berlandaskan perlembagaan Persekutuan.

Katanya, komitmen tersebut telah dizahirkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerusi penubuhan portfolio khusus di bawah Hal Ehwal Sabah dan Sarawak serta penubuhan Majlis Khas mengenai MA63.

“Pada masa ini, Majlis Khas MA63 sedang meneliti perkara-perkara yang berkaitan dengan hak-hak Sarawak, dengan beberapa kemajuan yang telahpun dicapai.

“Kerajaan PN mahu menambah baik hubungan persekutuan-negeri dengan bersandarkan pada asas lebih kukuh melalui pendekatan saling menghormati dan memahami,” katanya dalam ucapan pada Sesi Balai Rakyat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini pada Khamis.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta barisan kepimpinan tertinggi negeri.

Perdana Menteri tiba di Sarawak pagi Khamis untuk lawatan kerja selama dua hari.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, dalam tempoh setahun yang lalu, kerajaan komited dalam memacu pembangunan sosioekonomi di semua negeri termasuk Sarawak.

Artikel Berkaitan:

“Bagi Rolling Plan Pertama 2021 RMK12 (Rancangan Malaysia ke-12), sebanyak 781 projek pembangunan telah diluluskan dengan peruntukan berjumlah RM4.5 bilion khusus untuk Sarawak bagi pelaksanaan projek-projek di bawah pelbagai kementerian dan agensi.

“Antara projek pembangunan utama yang sedang dilaksanakan di Sarawak ialah projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, projek menaik taraf Lapangan Terbang Mukah dan projek Pembangunan Hab Halal Tanjung Manis Fasa 1A,” katanya.

Muhyiddin berkata, pelaksanaan projek-projek itu bukan sahaja mampu menyumbang kepada peningkatan aktiviti ekonomi tetapi juga dapat menjamin kesejahteraan hidup rakyat di Sarawak. - Bernama