Tajaan Da Ma Cai: Pemuda Pas gesa kembalikan dana

Khalil
Khalil
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas mendesak Kementerian Kewangan mengembalikan semula dana syarikat nombor ramalan, Da Ma Cai yang telah digunakan untuk membiayai rombongan Polis Diraja Malaysia ke Turki (PDRM) dalam tempoh seminggu.

Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sekiranya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bertanggungjawab dan berintegriti, wajar bagi beliau menggunakan peruntukan dari kementeriannya untuk kegunaan bagi lawatan itu.

Menurutnya, Guan Eng juga digesa memohon maaf kepada orang Islam di negara ini khususnya PDRM kerana meluluskan tajaan.

"Guan Eng telah memalukan institusi penguatkuasaan yang berlambangkan nama ALLAH dan Muhammad. Beliau harus bertanggungjawab kerana Lembaga Totalisator Malaysia (LTM) terletak di bawah bidang kuasa beliau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng hari ini, menegaskan tidak tahu tentang sumbangan dan tajaan lawatan kerja pegawai kanan PDRM yang diberikan oleh LTM kerana ia diputuskan oleh Lembaga Pengarah badan itu.

Menurutnya, oleh kerana sebarang keputusan oleh Lembaga Pengarah LTM tidak perlu dirujuk kepada Menteri Kewangan, maka tajaan membiayai lawatan kerja ke Turki itu tidak pernah dimaklumkan atau diluluskan oleh beliau.

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil mempersoalkan mengapa Guan Eng tidak bertindak sedangkan agensi tersebut di bawah Kementerian Kewangan.

"Ini menggambarkan seperti ada hubungan istimewa antara Da Ma Cai dengan Kementerian Kewangan. Secara tidak langsung menunjukkan bahawa kegiatan perjudian dan industri dosa akan terus subur di negara ini disebabkan adanya hubungan istimewa tersebut jika benar ia berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mendakwa, Guan Eng seolah-olah mahu memperlekehkan dan memusnahkan martabat serta integriti PDRM terutama dalam kalangan rakyat dengan mendedahkan bahawa pihak berkuasa itu menerima tajaan Da Ma Cai.

"Ia sepatutnya boleh di selesaikan secara dalaman oleh Kementerian Kewangan memandangkan LTM sebuah agensi di bawah kementerian itu.

"Guan Eng sendiri boleh menyelesaikan isu ini dengan tidak menerima tajaan tersebut dan meluluskan peruntukan di bawah Kementerian Kewangan," katanya.