Undi 18: Akta Pilihan Raya 1958 harus dipinda

Rais Yatim
Rais Yatim
A
A
A

BANTING - Akta Pilihan Raya 1958 (Akta 19) harus dipinda terlebih dahulu agar cadangan merangkumi pengundi berumur 18 tahun (Undi 18) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) boleh dilaksanakan.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, apabila ada cadangan bagi umur 18 tahun untuk menjadi pengundi secara automatik, maka hendaklah akta itu pun dipinda.

"Tetapi akta itu tidak dipinda (manakala) peraturan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya juga tidak dipinda.

“Walaupun perlembagaan sudah dipinda di bawah Perkara 48 misalnya, masih tidak boleh dijalankan lantaran salurannya itu tidak disediakan. Jadi walaupun perlembagaan sudah dipinda tetapi tidak ada prasarananya menerusi undang-undang pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas hadir program gotong-royong bersama sukarelawan Yayasan Budi dan orang Asli di Mah Meri Cultural Village, Pulau Carey, di sini pada Khamis.

Rais berkata, jawatankuasa PRU telah tertinggal sesuatu yang asas, iaitu asas peraturan dan undang-undang sampingan kepada pindaan perlembagaan yang dibuat.

“Undang-undang adalah persoalan pokok dan itu mesti dilaksanakan dahulu dan jika tidak, tidak boleh dilaksanakan kehendak yang ramai itu.

“Oleh kerana undang-undang itu tidak dilaksanakan di peringkat prasarana, itulah yang saya pandang berat, justeru tidak boleh dipaksa mereka yang 18 tahun automatik menjadi pengundi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Rais berkata, bagi beliau soal keberkesanan, faedah, dan risiko Undi 18 merupakan soal politik, bagaimanapun soal undang-undang harus dilaksanakan terlebih dahulu.