Bentuk jajaran baharu politik UMNO tidak diketahui

Muhammad Sanusi (tengah) menerima cenderahati Pos Malaysia yang disampaikan Pengarah Penyiaran Kedah, Sharimah Abu Bakar pada Sambutan Ulang Tahun ke-70 RTM di Jabatan Penyiaran Kedah, pada Khamis.
Muhammad Sanusi (tengah) menerima cenderahati Pos Malaysia yang disampaikan Pengarah Penyiaran Kedah, Sharimah Abu Bakar pada Sambutan Ulang Tahun ke-70 RTM di Jabatan Penyiaran Kedah, pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Jajaran baharu politik yang bakal diumumkan UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih menjadi tanda tanya.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya tertanya-tanya bentuk jajaran baharu kerana belum dimaklumkan.

"Kita katakan tidak kepada DAP dan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kita tidak mahu masuk campur urusan UMNO.

"Bagaimanapun, jikalau UMNO tidak mahu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) maka dia mahu siapa kerana tidak dimaklumkan selepas PRU jajaran baharu dengan siapa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung kenyataan bersama Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung jajaran baharu politik.

Muhammad Sanusi sebelum itu menyempurnakan perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-75 RTM di Jabatan Penyiaran Kedah, di sini pada Khamis.

Pada Rabu, Bersatu dan Pas dalam kenyataan bersama menegaskan akan terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Melalui kenyataan itu, kedua-dua parti menolak sebarang bentuk jajaran baharu untuk menubuhkan kerajaan pasca PRU15 khususnya membabitkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kenyataan berkenaan merupakan respons biasa PN bukannya peringatan kepada UMNO.

"Kita serahkan kepada mereka untuk membuat keputusan.

"Mereka pun buat keputusan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) untuk serahkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT), yang mana saya rasa Majlis Tertinggi UMNO belum ada mesyuarat lagi selepas PAU," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, Pas juga tertunggu-tunggu untuk mengetahui bentuk jajaran baharu politik berkenaan dan menanti keputusan dibuat UMNO.

"Pas ialah ejen penyatuan ummah dan sesiapa yang ingin bersatu dengan perpaduan ummah dipersilakan, mana-mana pihak yang patut berada dalam PN atau Muafakat Nasional diajak duduk bersama," katanya.

Tambah beliau, alasan kepada penyatuan ini adalah perpaduan ummah iaitu bukan untuk menyelamatkan sesiapa tetapi untuk kuasa politik orang Melayu dan Islam.

"Ingatkan tujuan kita untuk menjalinkan usahasama politik Islam dan kuasa orang Melayu, menyelamatkan negara serta menjadikan politik Islam teras negara bersama kaum lain yang tidak ekstrem untuk layari bahtera perjalanan ini bagi faedah negara dan rakyat," katanya.