Perhilitan selamatkan 18 spesies burung terancam

Yusoff menunjukkan burung blue and gold macaw iaitu antara spesies termahal yang diselamatkan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Shatin, Ipoh pada Rabu.
Yusoff menunjukkan burung blue and gold macaw iaitu antara spesies termahal yang diselamatkan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Shatin, Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menyelamatkan 18 ekor spesies burung yang dilindungi bernilai lebih RM65,000 dalam satu pemeriksaan di sebuah rumah di Taman Shatin di sini pada Rabu.

Tangkapan berkenaan termasuk dua ekor burung tiong mas, selain murai batu (enam), sun conure (dua), sulfur cockatoo (dua), green winged macaw (satu) dan spesies blue and gold macaw (dua) yang mempunyai nilai pasaran tinggi iaitu melebihi RM5,000 seekor.

Spesies lain yang diselamatkan dalam serbuan itu ialah seekor burung fischer's love bird dan dua ekor african grey yang bukan berasal dari Malaysia.

Pengarah Perhilitan negeri, Yusoff Sharif berkata, operasi sekitar jam 1.15 petang itu turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang mengakui sebagai pemilik premis.

Menurutnya, siasatan dilakukan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen sah daripada Perhilitan bagi menyimpan hidupan liar berkenaan.

"Daripada soal siasat, kita dapati semua spesies burung itu disimpan untuk tujuan jualan bagi pasaran tempatan.

"Lelaki itu disyaki sudah lama terlibat dalam urus niaga burung antara lima ke enam tahun lalu, namun ketika itu sukar dikesan kerana dilakukan dalam kuantiti yang kecil dengan menjadikan rumahnya sebagai tempat transit," katanya ketika sidang akhbar di Pejabat Perhilitan Perak di sini pada Khamis.

Beliau berkata, lelaki itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, orang ramai yang berminat membela hidupan liar seperti itu dinasihatkan untuk menyemak dengan Perhilitan terlebih dahulu sebelum meneruskan hobi mereka.

"Kita faham memang ada kalangan masyarakat yang berminat untuk membela burung, tetapi kita ada kaedah tertentu dan prosedur yang perlu dipatuhi," katanya.