JAS arah pembersihan tanah di tapak projek insinerator dihentikan

Veerapan dan Azuri semasa meninjau sungai Batang Benar selepas program gotong-royong membersihkan denai sungai di Kampung Batang Benar pada Khamis.
Veerapan dan Azuri semasa meninjau sungai Batang Benar selepas program gotong-royong membersihkan denai sungai di Kampung Batang Benar pada Khamis.
A
A
A

NILAI - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan telah mengarahkan semua kerja pembersihan tanah di tapak projek loji insinerator di Bandar Baru Sendayan dihentikan serta-merta.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, notis amaran supaya menghentikan kerja-kerja tanpa kebenaran itu dihantar kepada syarikat terbabit pada Jumaat lalu.

Menurutnya tinjauan sebelum ini mendapati kerja-kerja pembersihan tanah dilakukan.

"Kita memberi notis amaran dan jika mereka ingkar kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang," katanya

selepas merasmikan Program Gotong-royong Denai Sungai Kebangsaan sempena Hari Bumi Peringkat Negeri Sembilan 2021 di Kampung Batang Benar, Mantin, Nilai dekat sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah JAS negeri, Azuri Azizah Saedon.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kerajaan negeri menolak cadangan pembinaan projek loji insinerator di Bandar Baru Sendayan dan berharap ia tidak diteruskan.

Katanya, Negeri Sembilan tidak berminat dan berpendapat bahawa tiada keperluan untuk pembinaan projek tersebut di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Veerapan memberitahu, sebanyak empat batang sungai di negeri ini dikenal pasti terdedah kepada aktiviti pencemaran termasuk pembuangan berjadual seperti sisa minyak.

Katanya, sungai berkenaan ialah Sungai Anak Air Garam, Sungai Batang Benar, Sungai Belihoi dan saliran Sungai Linggi yang sebelum ini terlibat dalam insiden pencemaran.

"Kerajaan negeri terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM1 juta bagi membersihkan semua empat sungai yang tercemar pada tahun lalu.

"Sehingga kini kita akan terus memantau semua kawasan sungai itu dengan lebih kerap bagi memastikan ia terpelihara dan bebas daripada sebarang pencemaran," katanya.