Bersatu, Pas Perak bertemu esok

Zainol Fadzi (kanan) menerima pokok cili sebagai cenderahati daripada Misbahul Munir selepas merasmikan penutupan Kursus Fertigasi Cili @ Sungai Manik anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) di Pusat Latihan Pertanian Degong, di sini pada Khamis.
Zainol Fadzi (kanan) menerima pokok cili sebagai cenderahati daripada Misbahul Munir selepas merasmikan penutupan Kursus Fertigasi Cili @ Sungai Manik anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) di Pusat Latihan Pertanian Degong, di sini pada Khamis.
A
A
A

TELUK INTAN - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak dan Pas Perak akan mengadakan pertemuan pada Jumaat bagi membincangkan mengenai usaha mengukuhkan kerjasama kedua-dua parti itu.

Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, pertemuan itu akan melibatkan Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

Menurutnya, tindakan itu susulan daripada kenyataan bersama Pas dan Bersatu Pusat mengenai perancangan serta hala tuju kerjasama kedua-dua parti di dalam Perikatan Nasional (PN) itu.

"Mungkin mereka akan umum sesuatu (selepas pertemuan itu), jadi saya tak boleh mendahului.

"Kita di Bersatu negeri menyambut baik dan menyokong penuh persefahaman yang dipersetujui antara Presiden Pas dan Presiden Bersatu untuk kita mengukuhkan kerjasama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Kursus Fertigasi Cili @ Sungai Manik anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) di Pusat Latihan Pertanian Degong di sini pada Khamis.

Hadir sama pada majlis tersebut, Pengarah Pasak, Misbahul Munir Masduki yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu, Pas terus kerjasama, tolak penjajaran baharu

Bersatu dan Pas dalam satu kenyataan bersama pada Rabu menegaskan akan terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kedua-dua parti itu juga menolak sebarang bentuk penjajaran baharu untuk menubuhkan kerajaan pasca PRU15 terutama melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ditanya mengenai keputusan UMNO untuk bertanding secara bersendirian pada PRU15, Zainol Fadzi berkata, keputusan itu merupakan hak UMNO.

"Semua orang berhak untuk mencalonkan diri bertanding pada pilihan raya di mana sahaja kawasan yang dikehendaki. Orang yang tak ada parti pun boleh bertanding.

"Tengok apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, sampai 11 calon bertanding di satu kerusi," katanya.

Menurut Zainol Fadzi, parti tidak mempunyai hak untuk menentu jumlah calon yang boleh bertanding di satu-satu kawasan.