Audit 1MDB: Bicara kes Najib, Arul Kanda tambah 10 hari lagi

Najib (kiri) dan Arul Kanda (kanan)
Najib (kiri) dan Arul Kanda (kanan)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy atas dakwaan meminda laporan audit syarikat itu, yang sepatutnya bersambung selama dua hari bermula 11 Ogos, ditambah 10 hari lagi sehingga Oktober ini.

Peguam Nur Syahirah Hanapiah yang mewakili Najib berkata, penambahan tarikh baharu perbicaraan kes itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Catherine Nicholas ketika pengurusan kes di dalam kamarnya hari ini.

"Mahkamah sebelum ini menetapkan 11 dan 12 Ogos untuk sambung bicara, manakala penambahan tarikh baharu perbicaraan ditetapkan 6 hingga 9 September, 4 hingga 7 Oktober dan 20 serta 21 Oktober," kata peguam itu.

Setakat ini, seramai tujuh saksi pendakwaan termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang telah memberi keterangan dalam perbicaraan itu, yang berlangsung di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Najib, 67, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB yang telah dimuktamadkan Ketua Audit Negara, sebelum laporan itu 'sekali lagi dimuktamadkan' dan dibentang di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.

Arul Kanda, 44, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016, mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Najib, Arul Kanda dibicarakan bersama

Artikel Berkaitan: