Sistem CTS di Terminal Melaka Sentral, ramai hilang kerja

Antara kerani jualan tiket bas bakal kehilangan pekerjaan ekoran Terminal Bas Melaka Sentral di sini bertukar kepada Sistem CTS.
Antara kerani jualan tiket bas bakal kehilangan pekerjaan ekoran Terminal Bas Melaka Sentral di sini bertukar kepada Sistem CTS.
A
A
A

MELAKA - Seramai kira-kira 60 kerani jualan tiket bas bakal kehilangan pekerjaan apabila Terminal Bas Melaka Sentral di sini bertukar kepada Sistem Tiket Berpusat (CTS) yang akan dikendalikan sebuah syarikat swasta bermula 1 Mac depan.

Pekerja-pekerja ini mendakwa telah diarah mengosongkan kesemua 28 kaunter tiket sewaan di terminal itu selewat-lewat jam 12 malam pada 28 Februari ini.

Penyelia Kaunter Tiket Transnasional, Mohd Marzuki Yusof berkata, biarpun mereka masih belum menerima sebarang notis pemberhentian kerja daripada majikan masing-masing, namun arahan itu dikeluarkan sejak 7 Februari lalu.

"Syarikat pengendali CTS yang dilantik sudah menyatakan mereka tidak akan mengambil semula kami bekerja dan akan menggunakan khidmat pekerja baharu.

"Apa yang menyedihkan, kami langsung tidak dibayar pampasan biarpun kebanyakan kami sudah lama bekerja," katanya ketika mewakili semua mangsa yang terlibat mengadakan perjumpaan dengan Ketua Menteri di kediamannya di Seri Bendahara Ayer Keroh, di sini.

Katanya, kebanyakan daripada pekerja adalah mereka yang menyara keluarga.

"Dengan keadaan ekonomi sekarang, bagaimana kami semua nak cari kerja lain," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pihaknya sudah maklum perkara itu dan akan mengkaji semula terma perjanjian membabitkan kedua-dua pihak.

Artikel Berkaitan:

“Kita akan kaji semula terma perjanjian dan kesan notis arahan yang dikeluarkan kepada kerani terlibat.

“Kita akan adakan pertemuan bersama wakil Melaka Sentral Sdn Bhd (MSSB) dan kerani tersebut bagi menyelesaikan masalah mereka Isnin depan,” katanya.

Adly akan mendapatkan segala maklumat terperinci mengenai notis tersebut kerana kerani itu bekerja di bawah pihak majikan masing-masing.