PMI pembuatan Malaysia meningkat kepada 49.9 pada Mac

Gambar hiasan. Foto 123rf
Gambar hiasan. Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia IHS Markit -- petunjuk tunggal komposit bagi prestasi sektor pembuatan, meningkat kepada 49.9 pada Mac 2021 berbanding 47.7 pada Februari lepas.

Dalam kenyataan pada Khamis, IHS Markit berkata, angka terbaharu itu turut menunjukkan kestabilan persekitaran operasi dengan indeks keseluruhan tersebut mencecah paras tertinggi sejak Julai 2020.

Ketua Ahli Ekonomi Perniagaannya, Chris Williamson berkata, sektor pembuatan Malaysia menggambarkan bahawa ini semakin ke arah pemulihan pada Mac dengan kadar penyusutan tempahan dan eksport yang dialami sebelumnya, semakin berkurangan.

“Biarpun pengeluaran semasa kekal suram, syarikat-syarikat sebaliknya semakin ketara untuk mencatat kemajuan pada masa akan datang, terutamanya berkaitan dengan usaha pengambilan tenaga kerja.

“Pada bulan Mac itu misalnya menyaksikan usaha pewujudan kerja yang paling pantas dalam tempoh dua tahun ketika perniagaan ternyata lebih optimis mengenai prospek akan datang,” katanya.

Williamson berkata, bekalan input sebaliknya terus menyusut yang hanya menambah cabaran terhadap pengeluar.

Bagaimanapun, peningkatan semula perdagangan global dijangka dapat menangani pengurangan tersebut dalam beberapa bulan ini serta membantu mengembangkan pengeluaran Malaysia selain mengatasi tekanan harga.

IHS Market berkata, dalam tempoh tinjauan terbaharu itu, kalangan pengeluar barangan Malaysia telah menunjukkan pengembangan pertama membabitkan tahap pekerjaan dalam tempoh 12 bulan.

Artikel Berkaitan:

Aktiviti persediaan bagi menerima tempahan akan datang juga dilaporkan memerlukan kapasiti tambahan, sekali gus melonjakkan Indeks Pekerjaan yang dilaras secara bermusim dan mencecah paras tertinggi sejak April 2019.

Menurut IHS Market, biarpun berdepan cabaran dalam bentuk kekurangan bekalan serta isu berkaitan Covid-19 yang masih wujud, kalangan pengeluar Malaysia terbukti memaparkan optimis lebih tinggi mengenai prospek pengeluaran bagi tahun-tahun akan datang.

Syarikat-syarikat juga mencatat sentimen positif tertinggi dalam tempoh enam bulan pada Mac lepas yang disifatkan berkaitan dengan peningkatan prospek sektor itu.

Pada masa sama, pengeluar terbabit juga berharap untuk menyaksikan pemulihan permintaan di peringkat domestik dan luaran yang dapat memacu pengeluaran serta jualan bagi tempoh 12 bulan akan datang. - Bernama