Kartel makan suap di sempadan Iraq

Gambar fail menunjukkan beberapa anggota separa tentera mengawal sebuah pintu sempadan Mandali di daerah Balad Ruz yang bersempadan dengan Iran. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan beberapa anggota separa tentera mengawal sebuah pintu sempadan Mandali di daerah Balad Ruz yang bersempadan dengan Iran. - Foto AFP
A
A
A

SEBUAH kartel yang mahu mengelakkan bayaran cukai kastam telah menyebabkan kerajaan Iraq kehilangan pendapatan negara dianggarkan berjumlah berbilion-bilion dolar di pintu-pintu sempadan negara itu.

Wang yang dikutip di pintu-pintu sempadan itu didakwa diberikan kepada anggota-anggota kumpulan separa tentera, parti-parti politik dan pegawai-pegawai kerajaan yang bersubahat dengan jenayah rasuah itu.

Siasatan yang dilakukan selama enam bulan oleh AFP mendapati, penerima utama hasil kegiatan rasuah itu ialah anggota-anggota separa tentera yang telah menakut-nakutkan pegawai-pegawai kerajaan yang berani menghalang perbuatan mereka dengan ancaman bunuh.

Kebanyakan pintu sempadan bagi memasuki Iraq dikawal secara tidak rasmi oleh kumpulan-kumpulan separa tentera itu yang menyertai Hashed al-Shaabi iaitu sebuah pertubuhan yang mendapat sokongan negara tersebut.

Hashed al-Shaabi atau juga dikenali sebagai Unit Pergerakan Popular Iraq (PMU) ialah sebuah pertubuhan yang ditubuhkan berdasarkan kepada fatwa Syiah yang mendesak supaya tentangan dilakukan ke atas kumpulan Daesh pada tahun 2014.

Ia didakwa dianggotai oleh lebih 40 kumpulan separa tentera dan antara yang paling kuat ialah kumpulan Kataeb Hezbollah, Asaib Ahl al-Haq serta Pertubuhan Badr dengan mendapat latihan dari negara jiran iaitu Iran.

Anggota-anggota unit tersebut, sekutu-sekutu dan saudara-mara mereka bekerja sebagai ejen sempadan, pemeriksa atau polis.

Mereka memperoleh wang daripada para pengimport yang mahu mengelakkan proses rasmi kemasukan barangan atau untuk mendapatkan potongan harga barangan.

Artikel Berkaitan:

"Jika anda mahu jalan pintas, anda perlu pergi kepada kumpulan-kumpulan militia (kumpulan separa tentera) atau parti (politik)," kata seorang ejen perisikan Iraq yang menyiasat tentang isu mengelakkan cukai itu kepada AFP.

Beliau berkata, para pengimport sanggup untuk kehilangan sebanyak AS$100,000 (RM415,650) bagi memberi rasuah berbanding kehilangan barangan yang mahu dibawa masuk ke dalam negara tersebut.

Bagaimanapun, unit tersebut telah membuat penafian secara terbuka tentang dakwaan rasuah itu.

Namun, penganalisis dan pegawai Iraq mengesahkan bahawa Pertubuhan Badr iaitu salah sebuah kumpulan bersenjata yang menyertai PMU itu mengawal pintu sempadan Mandali di daerah Balad Ruz yang terletak dengan sempadan Iran.

Pertubuhan itu sebelum ini ditubuhkan di Iran dan seorang pegawai Iraq memberitahu AFP bahawa pihak yang mengawal pintu sempadan itu boleh mendapat rasuah sebanyak AS$10,000 (RM41,565) sehari.

Pegawai itu berkata, wang tersebut kemudian dibahagi-bahagikan kepada kumpulan separa tentera yang mengawasi pintu sempadan tersebut dan beberapa pegawai kerajaan yang bersubahat dengan perbuatan tersebut.

Pelbagai jenis barang dibawa masuk untuk dijual ke Pelabuhan Umm Qasr di Basra, selatan Iraq. - Foto AFP
Pelbagai jenis barang dibawa masuk untuk dijual ke Pelabuhan Umm Qasr di Basra, selatan Iraq. - Foto AFP

Iraq yang mempunyai 40 juta penduduk mempunyai lima pintu sempadan rasmi dengan Iran dan sebuah lagi dengan Turki manakala Pelabuhan Umm Qasr di Basra, selatan negara tersebut menjadi tempat masuk barang-barang dari luar negara.

Negara itu membawa masuk barang-barang yang bukan minyak bernilai AS$21 bilion (RM87.29 bilion) pada tahun 2019, menurut data kerajaan yang berjaya diperoleh AFP.

Rangkaian kartel itu berlaku dengan meluas sehinggakan seorang pekerja kastam berkata: "Ia (perbuatan kartel itu) lebih buruk berbanding keadaan di hutan. Di dalam hutan, sekurang-kurangnya haiwan-haiwan makan dengan kenyang, (tetapi), lelaki-lekaki (yang terlibat dengan kartel itu) tidak pernah berasa puas hati."

Kartel itu berleluasa di Iraq kerana kakitangan-kakitangan kerajaan tidak menjalankan tugas dengan cekap dan gejala rasuah yang berlaku ekoran tindakan tentera perikatan diketuai Amerika Syarikat (AS) yang menceroboh negara tersebut pada tahun 2003 untuk mencari senjata pemusnah besar-besaran dan menggulingkan pemerintahan Presiden ketika itu, Saddam Huseein.

Sistem kartel itu telah diamalkan oleh parti-parti politik dan kumpulan separa tentera termasuk yang menyertai unit PMU, kata Renad Mansiur daripada kumpulan pemikir Chatnam House kepada AFP.

Ia dilakukan selepas Iraq berjaya mengalahkan kumpulan Daesh pada tahun 2017.

Menteri Kewangan Iraq, Ali Allawi berkata kepada AFP: "Kita sepatutnya memperoleh AS$7 bilion (RM29.10 bilion) setahun daripada kastam. Sebaliknya, hanya 10 hingga 12 peratus daripada sumber kastam yang diperoleh oleh Kementerian Kewangan." - Agensi