X

Kindly register in order to view this article
!

Rasuah politik halang pengundi

A
A

SALAH satu bentuk ‘rasuah politik’ – penyalahgunaan kuasa yang diberikan untuk mengaut kepentingan politik – ialah ‘penghimpitan undi’ (vote suppression) iaitu menghalang pengundi yang dijangka akan menyokong parti lawan daripada mengundi.

Di Amerika Syarikat, sungguhpun penghambaan orang kulit hitam diharamkan setelah tamatnya Perang Saudara pada tahun 1865, negeri-negeri penghamba di Selatan tetap ingin mendiskriminasikan orang kulit hitam yang telah diberikan kewarganegaraan dengan ‘undang-undang Jim Crow’.

Pernah ada negeri selatan yang mengenakan ‘cukai kepala’ atau ‘ujian celik huruf’ sebagai kelayakan mengundi, dengan tujuan agar pengundi hitam yang kebanyakannya miskin atau tidak berpendidikan boleh disingkirkan.

Untuk menyekat pengundi kulit hitam yang membawa kepada kemenangan Parti Demokrat dalam pilihan raya Presiden dan Senat, Gobenor dan Dewan Undangan Negeri Georgia yang dikuasai parti Republik minggu lepas meluluskan undang-undang Jim Crow baharu atas ‘undi pos’.

Sebagai contoh, nombor lesen memandu atau dokumen lain dikehendaki untuk pendaftaran pengundi pos, agar pengundi kulit hitam yang tidak berkenderaan mungkin tidak dapat mengundi secara pos.

Penghimpitan undi juga pernah berlaku di Malaysia. Pada tahun 1999 apabila reformasi melanda Malaysia, seramai 680,000 pengundi baharu ‘tidak sempat’ dimasukkan ke dalam senarai pengundi. Pada 2018, hari mengundi jatuh pada hari Rabu (9 Mei) yang menyusahkan golongan pekerja yang perlu pulang dari kota lain untuk mengundi. Undi-undi pos ke luar negeri juga banyak tiba lewat.

Secara mendadak, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh mengumumkan bahawa Undi 18 dan pendaftaran pengundi automatik (automatic voter registration, AVR) kini akan termeterai hanya pada September 2022, 14 bulan lebih lewat dari Julai 2021 seperti yang dijanjikan.

Alasan Pengerusi SPR bahawa penangguhan ini disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini menunjukkan beliau sama ada tidak faham urusannya atau enggan berterus-terang dengan rakyat Malaysia.

Yang memerlukan kerja peningkatarafan dalam sistem pengurusan data bukanlah Undi 18, tetapi AVR. Dan kerja peningkatarafan sistem pengurusan data melibatkan interaksi dengan komputer, bukan dengan manusia. Apa kenanya dengan PKP?

Undi 18 dan AVR akan berlaku pada Julai 2021, ini jawapan Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjawab Parlimen pada 2 November 2020, lapan bulan selepas PKP 1.0 bermula. Apa yang berlaku dalam lima bulan sejak November lepas yang gagalkan AVR?

Rakyat Malaysia berhak mengetahui jawapan jujur daripada SPR: apa kesulitan teknikal yang dihadapi SPR untuk AVR? Berapakah kos kontrak projek ini? Berapakah pampasan dibuat kontraktor atas kelewatan 14 bulan?

Sebenarnya, Undi 18 dan AVR boleh berlaku secara berasingan. Kedua-dua reformasi ini diikat bersama hanya kerana Pas menuntut sedemikian apabila parti-parti kerajaan dan pembangkang merunding pasal pindaan perlembagaan pada Julai 2019.

Kalau pendaftaran pengundi automatik tergendala tanpa niat jahat, maka Pas dan Takiyuddin mempunyai tanggungjawab moral untuk cadangkan pemisahan Undi 18 daripada AVR.

Pindaan Undi 18 harus dikuatkuasakan serta merta sementara menunggu kegendalaan AVR diatasi!

Ingatlah kemarahan rakyat dalam PRU14. Kalau penangguhan Undi 18 dan AVR berniat ‘penghimpitan undi’, bersedialah menunggu kemarahan anak muda.

Buaya pantang dikejutkan,

Jangan usik dengan lidi,

Rakyat pantang dibisukan,

Jangan cuba himpit undi.

*Profesor Wong Chin Huat ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihanraya, politik parti dan demokrasi berparlimen


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!