Pengajaran pilihan raya Israel 2021

No Image Caption
A
A
A

JUMAAT lepas, keputusan pilihan raya Israel ke-24 telah dimuktamadkan. Sah, walaupun menang jumlah kerusi terbanyak, parti Likud dan Netanyahu sekali lagi tidak memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan selepas empat kali pilihan raya sejak April 2019.

Bagaimana boleh jadi macam ini? Bukankah Israel itu negara yang hebat dan dijaja sebagai raja konspirasi perebutan kuasa di dunia? Apa yang akan berlaku seterusnya? Apakah akan berlaku adegan lompat-melompat? Apa yang kita boleh belajar daripada perkembangan ini? Ini yang saya ingin coretkan secara ringkas dalam penulisan kali ini.

Pertama, keretakan dalam projek penjajahan Zionis di Palestin semakin jelas. Tindakan sekular Zionis menggunakan agama dan identiti Yahudi untuk menghalalkan penjajahan yang mereka lakukan dan mengumpulkan diaspora Yahudi di Palestin telah mula memakan diri mereka sendiri.

Hari ini sekular dan liberal Zionis bercakaran dengan golongan ultra-ortodoks tentang identiti Israel; sama ada sekular-demokratik atau negara halakha-Yahudi.

Dari luar Zionisme dilihat menyatukan mereka tapi dari dalam mereka sebenarnya bercakaran sesama sendiri sehingga menimbulkan kebuntuan dan ketidakstabilan politik pada hari ini.

Kedua, projek Zionis untuk menjadikan Israel sebagai negara eksklusif Yahudi sedang menuju ke arah kegagalan; diancam oleh demografi Arab yang semakin membengkak dan mula mengambil tempat dalam demokrasi di Israel.

Penglibatan Arab dalam politik Israel selama ini hanyalah sebagai kosmetik bagi menutup rasisme Zionis ke atas Arab dan membuktikan Israel sebagai sebuah demokrasi yang tulen. Hari ini senjata telah makan tuan.

Ketiga, masyarakat Israel semakin tidak hirau tentang rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pemimpin mereka.Israel sebelum ini terkenal dengan ketegasan menghukum pemimpin mereka yang korup. Sebelum ini presiden, perdana menteri, menteri dan ahli Knesset Israel pernah dihukum atas pelbagai kesalahan jenayah - rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa, sumpah bohong (perjury) dan mencabul kehormatan.

Artikel Berkaitan:

Tapi hari ini, walaupun Netanyahu terpalit dengan tuduhan rasuah, pecah amanah dan rasuah di mahkamah, beliau masih diangkat sebagai pemimpin dan menerima sokongan terbesar dalam pilihan raya. Jenayah

Keempat, Zionis ketandusan pemimpin berwibawa. Netanyahu telah memimpin kerajaan Israel selama empat penggal sejak 2009 (lima jika termasuk kali pertama beliau menjadi PM pada 1996-1999). Beliau merupakan PM Israel paling lama memerintah Israel; lebih 15 tahun. Ini bertentangan dengan tradisi politik dan kepemimpinan di Israel.

Kelima, Palestin mempunyai masa depan yang cerah jika demokrasi benar-benar berfungsi di Israel, parti-parti Arab diterima sebagai sebahagian daripada rakan semulajadi dan politik di Israel bergerak ke arah Post-Zionisme.Post-Zionisme adalah istilah yang digunakan oleh kluster Sejarawan Baharu Israel yang berpendapat Zionisme telah pun berakhir dengan penubuhan negara Israel dan perlunya kepada naratif dan pendekatan baharu yang boleh benar-benar menjamin keselamatan, demokrasi dan keamanan Israel.

Sejarawan Baru Israel seperti Profesor Ilan Pappe dan Avi Shlaim menyanggah mitos dan naratif Zionis yang meletakkan semua kesalahan kepada Arab sebagai punca kepada konflik Israel-Palestin pada hari ini.

Kebuntuan politik, keretakan dan kegagalan projek Zionis (seperti yang telah disebutkan di atas), serta beberapa lagi faktor-faktor lain sekali lagi memaksa Israel memikirkan kerangka baru politik post-Zionisme.

Jika rejim Zionis di Israel berjaya ditumbangkan dengan komposisi, naratif dan pendekatan baharu yang lebih inklusif, rekonsiliatif dan demokratik, masa depan Palestin pasti lebih cerah.

Dengar macam mustahil tapi tiada yang mustahil jika itu yang ALLAH kehendaki. Wallahua’lam.

* Khalid Jimat ialah Pegawai Penyelidik, Palestine Centre of Excellence (PACE)