X

Kindly register in order to view this article
!

FAM tidak akan tarik penyertaan skuad Projek FAM-MSN

Antara aksi menarik pertemuan skuad Projek FAM-MSN menentang Negeri Sembilan dalam saingan Liga Premier baru-baru ini. -Foto: Negeri Sembilan FC
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan terus memastikan skuad Projek FAM-MSN beraksi dalam saingan Liga Premier disebalik desakan sesetengah pihak yang mahu skuad tersebut dikeluarkan daripada saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram berkata, skuad Projek FAM-MSN itu akan terus diberikan peluang bersaing untuk menimba pengalaman di pentas tertinggi bola sepak negara.

"Bagi saya, ia pendapat peribadi pihak tersebut. Banyak sebab untuk pasukan skuad Projek FAM-MSN ini beraksi di Liga Premier antaranya memberikan pendedahan kepada pemain beraksi diperingkat tertinggi dan ia pengalaman berguna buat pemain.

"Kami di FAM akan meneruskan program dan akan menyokong pasukan ini terus bersaing dalam saingan liga selain memberikan ruang sepenuhnya kepada mereka membuktikan kemampuan di atas padang," katanya yang diberikan tanggungjawab selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM.

Sebelum ini, bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari, Lim Teong Kim membidas keputusan FAM yang menubuhkan skuad Projek FAM-MSN untuk bersaing dalam saingan Liga Premier yang dikhuatiri akan memberikan kesan buruk kepada psikologi pemain termasuk membunuh mentaliti kemenangan dalam diri mereka.

Untuk rekod, skuad projek tersebut yang dibarisi oleh 30 pemain bawah 19 tahun telah tewas kesemua lima perlawanan dalam kempen saingan Liga Premier setakat ini.

Mengulas lanjut, keputusan menang atau kalah tidak diambil sebagai sesuatu yang serius oleh badan induk bola sepak negara itu dengan misi sebenar mahu memastikan pendedahan di peringkat tertinggi dapat diberikan kepada pemain muda negara.

"Menang atau kalah adalah perkara yang kita tidak ambil sebagai sesuatu yang penting kerana pengalaman adalah misi sebenar kami kepada pemain muda ini untuk menghadapi saingan di peringkat tertinggi liga.

"Sebagai contoh ketika mereka menentang Selangor II (dalam saingan Liga Premier) beberapa minggu lalu, mereka ketinggalan 3-0, namun mampu menjaringkan dua gol sebelum kalah 4-2. Dari situ kita nampak semangat dan kesungguhan mereka untuk bersaing," katanya.

Skuad Projek FAM-MSN yang dikendalikan oleh Yusri Che Lah mencatat kekalahan 0-4 kepada Terengganu FC II, tunduk kepada Kelantan FC 1-2, tewas 2-4 kepada Selangor FC II, 1-3 di tangan PDRM FC dan 0-2 kepada Negeri Sembilan FC dalam lima perlawanan Liga Premier musim ini.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!