Liga SupaRimau tidak ganggu fungsi NFDP

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

KEWUJUDAN Liga SupaRimau tidak akan mengganggu pembangunan di peringkat akar umbi sedia ada seperti di Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Akademi Tunas dan Pusat Latihan Daerah (PLD).

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, Liga SupaRimau diwujudkan untuk memberi peluang kepada komuniti yang lebih besar mendapat ruang untuk mengorak langkah lebih jauh dalam bola sepak.

"Kita perlu asingkan pembangunan elit (NFDP) dan penyertaan secara komuniti di peringkat akar umbi. Ada ribuan akademi di negara ini yang tidak dapat peluang untuk bermain dan mengambil bahagian dalam kejohanan yang diadakan.

"Sebab itu, banyak wujud liga-liga haram dan kejohanan yang tidak dikelolakan dengan betul. Justeru, kami perkenalkan Liga SupaRimau untuk mencungkil lebih ramai bakat di peringkat akar umbi dan memberikan peluang untuk mereka bersaing dalam kejohanan yang kompetitif," katanya.

Pada Selasa, FAM melancarkan Liga SupaRimau yang bakal menghimpunkan 300 pasukan yang terdiri daripada akademi bola sepak di seluruh negara.

Bagaimanapun, ramai pihak beranggapan kewujudan Liga SupaRimau dilihat tidak memberikan impak besar terutamanya selepas bakat terbaik sudah dikumpulkan di NFDP.

Mengulas lanjut, Stuart menegaskan Liga SupaRimau akan memberikan lebih banyak pilihan pemain kepada skuad negara pada masa akan datang kerana tujuan utama liga itu untuk mencungkil bakat terpendam yang dimiliki pemain.

"Kami mengetengahkan penyertaan yang besar di peringkat akar umbi dan bakat di luar sana. Tidak semua di NFDP adalah yang terbaik di Malaysia. Dalam Liga SupaRimau mungkin kita akan jumpa pemain muda berbakat yang tidak kita jumpa di NFDP.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, FAM juga mahu pembangunan di peringkat akademi berlaku dengan betul termasuk membimbing akademi bola sepak di Malaysia ke arah profesional," katanya.

Liga SupaRimau FAM bakal menyaksikan penyertaan pemain cilik lelaki mahupun perempuan dari peringkat umur enam tahun hingga 16 tahun dengan kempen dijadualkan bermula pada 12 dan 13 Jun ini.