Diesel Euro 5 ganti Euro 2M mulai esok: Tuan Ibrahim
PUTRAJAYA - Kerajaan menetapkan pelaksanaan spesifikasi minyak diesel Euro 5 bagi menggantikan minyak diesel Euro 2M bermula esok (Khamis), kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menurutnya, tarikh asal pelaksanaan minyak diesel berspesifikasi Euro 5 adalah pada 1 September tahun lalu namun atas keprihatinan kerajaan, Jemaah Menteri pada 10 Jun tahun lalu bersetuju menangguhkan pelaksanaannya pada 1 April ini susulan kekangan di pihak industri dan pandemik Covid-19.
Beliau berkata semua syarikat pengeluar, pembekal dan stesen minyak dikehendaki mematuhi pelaksanaan tersebut selaras dengan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kandungan Petrol Dan Diesel) 2007 serta Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kandungan Petrol Dan Diesel) (Pindaan) 2021.
"Pelaksanaan spesifikasi minyak diesel Euro 5 merupakan salah satu usaha kerajaan untuk mempertingkatkan status kualiti udara sepertimana yang digariskan dalam Pelan Tindakan Udara Bersih 2010," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kualiti minyak adalah penting untuk sistem enjin dan pelepasan daripada ekzos.
Tuan Ibrahim berkata, enjin berteknologi baharu yang mematuhi standard pelepasan Euro 4 ke atas memerlukan minyak yang lebih bersih untuk beroperasi secara optimum dan cekap dalam mengawal pelepasan asap atau gas pencemar daripada ekzos.
Katanya, pelaksanaan spesifikasi minyak diesel Euro 5 di seluruh negara akan dapat mempertingkatkan status kualiti udara.
"Euro 5 merupakan diesel dengan kualiti yang lebih bersih dan kandungan sulfur yang lebih rendah iaitu sebanyak 10 part per million (ppm) berbanding Euro 2M yang mempunyai kandungan sulfur sebanyak 500 ppm," katanya. - Bernama