Pemegang pas bermusim dibenar tonton aksi JDT-Melaka United

Foto: JOHOR Southern Tigers
Foto: JOHOR Southern Tigers
A
A
A

HANYA pemegang pas bermusim sahaja dibenarkan untuk menonton perlawanan Liga Super membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Melaka United di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat ini.

JDT menerusi kenyataan di Facebook rasminya memaklumkan keputusan berkenaan dibuat berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang hanya membenarkan 2,000 penyokong berada di dalam stadium bagi setiap perlawanan.

Justeru, kesemua pemegang Pas Bermusim Platinum hanya perlu hadir pada hari perlawanan dengan membawa pas bermusim masing-masing.

“Pemegang Pas Bermusim Gold perlu mengambil QR Code (pas masuk) di kaunter pandu lalu di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos pada Khamis (12 tengah hari hingga 8 malam) atau hari Jumaat (10 pagi hingga 1 petang) tertakluk kepada jumlah sedia ada.

“Kad Pas Bermusim perlu ditunjukkan dan pengambilan (digunakan) oleh pihak ketiga dibenarkan jika kad pas bermusim ditunjukkan. Satu pas bermusim layak untuk mendapat satu QR Code sahaja,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pemegang Pas Bermusim Gold perlu kekal di dalam kenderaan ketika pandu lalu kerana tiada kaunter fizikal disediakan manakala hanya mereka yang mempunyai QR Code atau kad Pas Bermusim Platinum sahaja dibenarkan untuk berada di kawasan Stadium Sultan Ibrahim pada hari perlawanan.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan membenarkan kemasukan ke stadium atau lokasi kejohanan sukan mengikut syarat serta SOP ditetapkan dan sebagai percubaan untuk menilai keberkesanan Protokol Pengurusan Penonton, perlawanan bola sepak Liga Malaysia (Liga-M) dibenarkan dahulu bagi kemasukan penonton berkuat kuasa 1 Apr ini.

Antara syarat itu ialah bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB), kapasiti penonton adalah 10 peratus atau 2,000 orang (mana-mana yang lebih rendah) dengan kawalan penyeliaan sepanjang masa.

Artikel Berkaitan:

Bagi kawasan PKP Pemulihan (PKPP) pula, sebanyak 25 peratus kapasiti penonton atau 8,000 orang (mana-mana yang lebih rendah) dengan kawalan penyeliaan sepanjang masa. - Bernama