X

Kindly register in order to view this article
!

Majlis sosial punca kes Covid-19 kembali meningkat di Sabah

Masidi Manjun
A
A

KOTA KINABALU - Kehadiran di majlis-majlis sosial menjadi antara penyumbang utama kepada peningkatan kes Covid-19 di Sabah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata, sebanyak 69 kes positif baharu Covid-19 dicatatkan di negeri itu hari ini berbanding 41 kes semalam, dengan dua lagi kluster baharu direkodkan iaitu Kluster Kampung Baru Pasir Putih di Tawau dan Kluster Kampung Rimbayan di Keningau.

Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 berkata kes indeks Kluster Kampung Baru Pasir Putih merupakan seorang lelaki yang pernah pulang ke Tawau bagi menghadiri majlis kenduri kahwin di kampung berkenaan yang dihadiri 244 jemputan.

“Setakat ini, jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah lapan kes dan aktiviti pengesanan kontak rapat masih giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Masidi berkata, Kluster Kampung Rimbayan yang melibatkan majlis pengebumian mencatatkan jumlah kumulatif 15 kes, dengan kes indeks dikesan positif melalui saringan rentas negeri ke Labuan pada 17 Mac.

Beliau berkata, peningkatan kes Covid-19 pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes wabak itu di Sabah adalah 54,767 kes, manakala pesakit sembuh yang dibenarkan keluar hospital pula 39 orang, menjadikan jumlah kumulatif 53,930 orang.

Mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat Sabah, katanya, 59,277 telah menerima suntikan vaksin di negeri itu setakat ini, masing-masing 42,350 penerima vaksin dos pertama, manakala selebihnya iaitu 16,927 individu telah melengkapkan kedua-dua dos, katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!