X

Kindly register in order to view this article
!

KBS cadang asing proses Undi 18, daftar memilih automatik

Para Sukarelawan memberi isyarat V tanda Vaksin selepas Majlis Penyerahan Penugasan MYVAC di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini. Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengemukakan cadangan kepada Kabinet pada Rabu, untuk mengasingkan proses hak mengundi kepada mereka yang berumur 18 tahun dan pendaftaran pemilih automatik.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diharap dapat melaksanakan usaha itu dengan segala formula dan ruang yang ada, memandangkan semua anggota Kabinet hari ini menyokong Undi 18.

“Dalam pindaan itu merangkumi banyak perkara, jadi saya fikir kita laksanakan dahulu ‘the low hanging fruit’ (mana yang mudah),” katanya yang juga akan mengutus surat kepada SPR dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berhubung cadangannya itu.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Penugasan Sukarelawan Khidmat Sokongan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) di sini pada Rabu, Reezal Merican berkata, Takiyuddin juga akan membentangkan perincian mengenai isu itu, pada minggu depan.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun, dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September 2022, dan kenyataan itu dipertikaikan banyak pihak yang menganggap penangguhan itu sebagai tidak munasabah.

Pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan umur calon layak bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang turut hadir pada majlis itu berkata, beliau menyokong hujah KBS dalam mesyuarat Kabinet hari ini mengenai pengasingan proses itu, kerana dimaklumkan bahawa sistem pendaftaran automatik belum siap.

“Kalau tidak boleh dilaksanakan pendaftaran automatik sebab masalah sistem, kenapa perlu ditangguhkan Undi18. Undi18 boleh diteruskan macam biasa. Itulah pandangan kami dan kami akan membuat keputusan di Kabinet minggu hadapan,” kata Khairy.

Sementara itu Reezal berkata, KBS menerima hampir 8,000 permohonan untuk menyertai pasukan sukarelawan MyVAC sejak dilancarkan pada 26 Februari lepas dan ia melepasi sasaran awal kerajaan iaitu 6,000 sukarelawan yang akan ditugaskan di lebih 600 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara.

“Sukarelawan MyVAC diibaratkan sebagai barisan hadapan kedua yang akan menyokong pasukan perubatan di PPV dengan tugas membantu proses pendaftaran dan pengesahan penerima vaksin, membantu pengurusan komunikasi dengan penerima vaksin untuk mengelakkan vaksin scammers selain memberi sokongan psikologi,” katanya.

MyVAC disokong Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia melibatkan golongan belia, mahasiswa institut pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!