X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 02 Disember 2021

Hubungan kerajaan negeri, Persekutuan tiada kaitan dengan politik: Abang Johari

Abang Johari Tun Openg
A
A

KUCHING - Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjelaskan keputusan hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang bakal dibuat adalah berkaitan perlembagaan dan bukan politik.

Menurutnya, apabila menyebut tidak lama lagi akan diumumkan keputusan semasa berucap pada majlis bersama rakyat di Lubuk Antu pada Selasa, beliau sebenarnya merujuk kepada cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan dengan menyelaraskannya bersama Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, sebaik sahaja pindaan tersebut dilaksanakan, ia akan menyebabkan hubungan yang lebih baik antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Sarawak sejajar dengan MA63.

Beliau berkata, pindaan peruntukan di bawah Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan adalah untuk mencerminkan Perlembagaan Persekutuan berdasarkan MA63.

“Cadangan meminda Perlembagaan adalah tafsiran istilah ‘Persekutuan’ merujuk kepada persekutuan yang ditubuhkan di bawah MA63.

“Buat masa ini, ‘Persekutuan’ ertinya Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Ulang Tahun ke-20 Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak di sini pada Rabu.

Abang Johari berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju mengadakan perbincangan lanjut bersama kerajaan mengenai pindaan ini.

Beliau bagaimanapun berkata, apa yang dinyatakan semasa lawatan kerjanya ke Lubok Antu itu tidak berkaitan dengan hubungan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersama PN seperti yang dilaporkan media. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!