MIC Perak minta elak kenyataan rugikan BN

V Elango
V Elango
A
A
A

IPOH - MIC Perak menggesa pemimpin Barisan Nasional (BN) di semua peringkat supaya menghentikan sebarang kenyataan yang boleh merosakkan hubungan antara komponen parti sekali gus merugikan gabungan itu.

Pengerusinya, V Elango berkata, ketika semua jentera sedang bergerak menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), semua pemimpin perlu menunjukkan kesepaduan antara parti untuk meyakinkan rakyat.

Jelas beliau, tindakan mengeluarkan kenyataan menyinggung perasaan rakan komponen menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap perpaduan dalam kalangan parti-parti di dalam BN.

"Kita sedang bersiap sedia dalam menghadapi PRU15 dan sepatutnya semua komponen perlu bersatu hati saling membantu antara satu sama lain, bukan mengeluarkan kenyataan yang merugikan parti.

"Kenyataan seperti ini bukan sahaja menghilangkan keyakinan rakyat malah menunjukkan kepada lawan seolah-olah kita ini lemah," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Puteri UMNO Bahagian Sungai Siput, Norazura Abdul Karim menerusi Facebooknya pada Selasa bahawa sudah sampai masa MIC memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Siput.

Elango berkata, semua pihak perlu berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan kerana sebarang kesilapan boleh menjejaskan peluang untuk memenangi PRU15.

Sementara itu, pemimpin akar umbi MIC juga mengharapkan semua pemimpin di dalam BN khususnya UMNO menunjukkan semangat setiakawan dan perpaduan yang selama ini menjadi pegangan parti.

Artikel Berkaitan:

Bagi Ketua MIC Cawangan Jalong, Sungai Siput, Vincent David, rakyat kini sudah pun menaruh keyakinan terhadap BN khususnya di kawasan Parlimen Sungai Siput.

Menurutnya, sebarang kenyataan yang memperlihatkan ketidaksefahaman antara pemimpin parti akan menjejaskan peluang untuk BN merampas kembali kerusi-kerusi yang tewas sebelum ini.

"Kami di peringkat akar umbi sedang bekerja keras mengadakan pelbagai program dan bantuan untuk rakyat. Maklum balas yang kita terima amat positif dan mereka mengharapkan BN kembali berkuasa.

"Jadi kita harap UMNO dan komponen BN yang lain bersama-sama bekerja untuk memenangi hati rakyat, bukan mengeluarkan kenyataan yang tidak bawa manfaat," katanya.

Menurut Vincent, hanya dengan kerjasama padu dalam kalangan ahli serta pemimpin mampu mengembalikan sokongan sekali gus memberikan kemenangan pada PRU15 nanti.

ARTIKEL BERKAITAN: Kenyataan jangan sampai menyinggung