Melaka catat 35 kes pelaburan tidak wujud, kerugian RM1.1 juta

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka merekodkan sebanyak 35 kes melibatkan penipuan pelaburan tidak wujud sepanjang tiga bulan pertama tahun ini (Jan-Mac) dengan kerugian mencecah RM1.1 juta.

Ketua JSJK Melaka, Superintendan E Sundra Rajan berkata, pada Selasa sahaja, terdapat dua kes yang dilaporkan membabitkan seorang pesara lelaki berusia 68 tahun dan seorang pegawai farmasi berusia 27 dengan kerugian kedua-duanya berjumlah RM102,350.

Bagi kes pertama, Sundra Rajan berkata, mangsa diperkenalkan oleh seorang rakan mengenai satu pelaburan yang dikenali sebagai pelaburan bitcoin pada awal Jun 2019.

“Mangsa telah diterangkan mengenai pelaburan tersebut melalui satu perjumpaan dengan seorang lelaki yang merupakan ketua kumpulan dalam pelaburan bitcoin tersebut.

"Apabila suspek menjanjikan akan mendapat pulangan dalam tempoh 45 hari, mangsa telah berminat dan membuat pembayaran pertama sebanyak RM2,200 melalui sekeping cek yang dipinjam daripada kenalan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Kata beliau, mangsa telah berjumpa sekali lagi dengan suspek pada 27 Ogos 2019 untuk menjual saham bitcoin, namun suspek mengajak mangsa membeli satu bitcoin dengan harga RM43,000.

“Mangsa bersetuju dan membuat dua kali pembayaran pembayaran sebanyak RM43,000 ke satu akaun bank yang diberikan suspek. Kali ini, suspek menjanjikan mangsa akan mendapat pulangan RM400 setiap hari,” katanya.

Bagaimanapun mangsa rasa tertipu dan membuat laporan polis pada Selasa di Balai Polis Melaka Tengah.

Artikel Berkaitan:

Bagi kes kedua, Sundra Rajan menjelaskan, kes kedua pula melibatkan seorang pegawai farmasi yang menjadi mangsa pautan pelaburan tidak wujud iaitu Euro-Asia Trade yang diterima melalui aplikasi WeChat yang diperkenalkan oleh seorang rakan.

“Lelaki tersebut yang berminat, kemudiannya membuat pembayaran pertama sebanyak RM1,000 pada 4 Mac lepas melalui pemindahan wang ke satu nombor akaun bank yang diberikan dan menerima pulangan wang sebanyak RM3,000 yang dikreditkan ke akaunnya,” katanya.

Jelas beliau, pada 6 Mac sehingga 21 Mac lepas, mangsa telah membuat lapan kali transaksi pemindahan wang ke beberapa nombor akaun yang diberikan suspek secara berperingkat berjumlah RM57,150.

Bagaimanapun, mangsa tidak lagi menerima pulangan wang pelaburan wang yang dijanjikan dan membuat laporan polis pada Selasa selepas mengalami kerugian berjumlah RM57,150.

“Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan di atas kesalahan menipu. Justeru, pihak polis menasihati orang ramai supaya membuat semakan ke atas nombor telefon atau nombor akaun yang meragukan di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau memuat turun aplikasi ‘check scammer CCID’,” katanya. - Bernama