Pendedahan hakim, kerajaan perlu bertindak

Ahmad Nizam
Ahmad Nizam
A
A
A

KUANTAN - Pendedahan seorang hakim Mahkamah Rayuan yang mendakwa wujud konspirasi hakim-hakim tertinggi dalam mempengaruhi keputusan mahkamah, perlu dijawab segera.

Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pahang, Ahmad Nizam Hamid menyifatkan pendedahan Dr Hamid Sultan Abu Backer itu yang dibuat menerusi satu afidavit mahkamah, perlukan tindakan kerajaan.

Menurutnya, kerajaan perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) dengan kadar segera bagi memulihkan imej kehakiman negara.

"Saya berkesempatan membaca keseluruhan afidavit beliau dengan teliti dan saksama.

"Saya tabik keberanian dan pendedahan beliau, namun kena ingat kandungan afidavit itu melibatkan banyak isu termasuk kehakiman, kewangan negara malah ada dakwaan terdapat saman oleh kontraktor hingga libatkan kerugian besar negara," katanya ketika ditemui pada majlis Pelancaran Pusat Khidmat Dun semambu di Jalan Haji Ahmad, di sini, hari ini.

Ahmad Nizam berharap dengan tertubuhnya RCI, ia akan mengembalikan kepercayaan pelabur dan maruah serta keadilan.

"Dalam afidavit yang difailkan Dr Hamid, beliau turut mendakwa beberapa hakim tertinggi dari mahkamah tertinggi membantu pihak swasta menipu kerajaan.

"Afidavit tersebut turut mendedahkan ada campur tangan hakim tertinggi kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim II selain dalam kes Akta Hasutan melibatkan mendiang Karpal Singh dan keputusan penghakiman Indira Gandhi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad Nizam berkata, Dr Hamid turut mengkritik Kerajaan PH yang disifatkan hanya melakukan pembaharuan sekadar kosmetik semata-mata.

"Kita minta kerajaan untuk adakan RCI bagi menyiasat dakwaan ini," katanya.

Pendedahan itu antara beberapa dakwaan campur tangan dalam institusi kehakiman yang didedahkan Dr Hamid dalam afidavit sokongan terhadap permohonan peguam Sangeet Kaur Deo untuk mengisytiharkan bahawa ketua hakim negara gagal mempertahankan integriti dan kredibiliti badan kehakiman.