Ketengah buka muzium berkonsepkan perlombongan

Abdul Rahman (kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang daripada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Ketengah 2020, di Balai Orang Ramai (BALORA) Bandar AL Muktafibillah Shah, Dungun, pada Rabu.
Abdul Rahman (kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang daripada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Ketengah 2020, di Balai Orang Ramai (BALORA) Bandar AL Muktafibillah Shah, Dungun, pada Rabu.
A
A
A

DUNGUN - [DIKEMAS KINI] Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan membuka sebuah muzium berkonsepkan perlombongan yang dijadualkan beroperasi di Bukit Besi, di sini pada Jun ini.

Timbalan Menteri 1, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, muzium yang menelan kos pembinaan bangunan lebih RM3 juta itu sudah siap sepenuhnya dan kini kerja-kerja melengkapkan peralatan dalaman untuk dipamerkan.

"Kos lebih RM3 juta hanya melibatkan bangunan dan tidak termasuk kos tapak serta barang-barang untuk diisi di dalam muzium tersebut.

"Kita sebenarnya sudah siap memasang sebuah kereta kebal yang disumbangkan oleh pihak tentera di hadapan muzium sebagai daya tarikan orang ramai ke sini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Ketengah 2020, di Balai Orang Ramai (BALORA) Bandar AL Muktafibillah Shah, di sini pada Rabu.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, pihaknya mengakui masih ada masyarakat di luar bandar yang tidak berdaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 disebabkan berdepan masalah kemudahan internet termasuk gajet.

"Disebabkan itulah kami mengarahkan semua jabatan yang berada di bawah kementerian seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan lain-lain untuk turun ke kampung membuka kaunter bagi membantu mereka mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin.

"Alhamdulillah, usaha daripada jabatan-jabatan ini sudah membantu satu pertiga iaitu hampir dua juta daripada jumlah keseluruhan mereka untuk berdaftar sebagai salah seorang penerima vaksin Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan: