Anwar bantah langkah lulus belanjawan tanpa lepasi Parlimen

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menentang langkah kerajaan meluluskan belanjawan tambahan dan menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa perlu melepasi dewan perundangan semasa tempoh darurat.

Menurutnya, perkara berkenaan adalah cukup tidak beretika dan tidak bertanggungjawab.

“Reputasi negara sangat memprihatinkan saat ini dan ia pasti akan terus menghakis keyakinan pada ekonomi kita,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Satu Ordinan Darurat dilaporkan telah diwartakan yang membolehkan perdana menteri atau menteri besar atau ketua menteri meluluskan belanjawan tambahan dan menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa perlu melepasi dewan perundangan semasa tempoh darurat.

Sebelum ini mereka perlu mendapatkan kelulusan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri sebelum menyentuh wang itu.

Ordinan itu yang dimuat naik di laman Jabatan Peguam Negara, menyatakan apa-apa perbelanjaan atau pengeluaran daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan atau bagi sesuatu negeri boleh dibuat dengan kelulusan Perbendaharaan atau menteri besar atau ketua menteri, tanpa kelulusan dewan perundangan mulai Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ordinan baharu benar guna dana tanpa kelulusan Dewan Rakyat, DUN

Anwar yang merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menambah, tidak ada sebarang sebab kerajaan untuk bertindak seperti itu.

Artikel Berkaitan:

“Belanjawan 2021 telah diluluskan kurang dari empat bulan dulu yang telah memperuntukkan dana cukup bagi menghadapi Covid-19.

“Sebarang dana tambahan diluluskan oleh Parlimen dengan majoriti yang jelas dan berkemungkinan mendapat dukungan kedua-dua belah pihak sekiranya ia munasabah,” katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mengulangi gesaannya sebelum ini agar Parlimen dibuka dan ahli-ahli Parlimen dibenarkan menjalankan tanggungjawab mereka bagi mengelak demokrasi negara ini terus diinjak.