KPN sasar 100,000 ahli KRT daftar suntik vaksin Covid-19

Halimah (dua dari kiri) dan Dr Adham menyaksikan majlis pertukaran Nota Kerjasama antara Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kementerian Kesihatan pada Rabu. - Foto Bernama
Halimah (dua dari kiri) dan Dr Adham menyaksikan majlis pertukaran Nota Kerjasama antara Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kementerian Kesihatan pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menyasarkan 100,000 ahli Komuniti Rukun Tetangga (KRT) terutamanya daripada golongan warga emas mendaftar bagi menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dalam tempoh dua minggu ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, setakat ini, 62,256 ahli KRT daripada jumlah keseluruhan 248,000 telah membuat pendaftaran bagi menerima suntikan vaksin Covid-19.

"Gerakan dan kempen telah dimulakan dan kita harap angka 100,000 ahli KRT berdaftar dalam program vaksinasi tercapai," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Nota Kerjasama antara KPN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini pada Rabu.

Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Nota Kerjasama itu ditandatangani Ketua Setiausaha KPN, Datuk Wan Suraya Wan Md Radzi, manakala KKM oleh Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd Shafiq Abdullah.

Pada 29 Mac, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Fasa Kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang mengutamakan warga emas, orang kurang upaya dan golongan berpenyakit kronik akan bermula 19 April ini.

Notis janji temu bagi suntikan vaksin akan diberikan mulai 5 April, dua minggu awal sebelum tarikh janji temu menerusi aplikasi MySejahtera, panggilan telefon dan sistem pesanan ringkas (SMS).

Halimah berkata, ahli KRT akan bergerak ke komuniti terutamanya di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan akses internet yang baik bagi membantu mereka mendaftar dalam program vaksinasi terbesar negara itu.

Artikel Berkaitan:

"Borang pendaftaran akan diedarkan dan gerakan ini akan dilakukan secara besar-besaran bagi memastikan usaha kerajaan untuk memberikan vaksin sampai ke seluruh lapisan masyarakat," katanya. - Bernama