Disenarai hitam jika gagal jaga kebersihan tapak bazar Ramadan

 Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan memberi amaran akan menyenarai hitam peniaga dan penganjur bazar Ramadan sekiranya tidak menjaga kebersihan tapak bazar masing-masing.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tindakan itu diambil ekoran tapak bazar Ramadan sebelum ini kurang bersih dan keadaan itu agak mengecewakan.

"Peniaga dan penganjur diminta menjaga kebersihan kawasan mereka dan selalunya berlaku pada hari terakhir Ramadan kerana mereka meninggalkan khemah begitu sahaja dalam keadaan kotor selain persekitaran tidak bersih.

"Justeru, selepas ini jika mereka meninggalkan bazar Ramadan dalam keadaan tidak bersih, namanya akan diambil dan disenarai hitam untuk mendapatkan tempat perniagaan baharu. Ini merupakan peluang terakhir," katanya selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Aminuddin mengingatkan peniaga, penganjur dan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika mengunjungi bazar Ramadan.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Aminuddin berkata, beliau menasihati peniaga yang menjual makanan di lampu isyarat supaya

mematuhi undang-undang digariskan oleh pihak berkuasa.

"Saya menyeru peniaga-peniaga ini supaya mencari alternatif baharu untuk menjual makanan mereka. Saya yakin ada cara lain dan memahami mereka terdesak untuk mencari rezeki.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimana pun, keselamatan itu lebih penting iaitu keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain. Saya harap mereka mematuhi undang-undang supaya tidak dikenakan tindakan lanjut," katanya.